Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) Jamaludin Yusuf hari ini berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi untuk meminta ahlinya mengadakan perhimpunan di Plaza Low Yat, Bukit Bintang malam tadi.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan untuk berhimpun itu merupakan tindakan sendiri yang diambil oleh individu-individu tertentu.

Katanya lagi, pada perhimpunan malam tadi, ia bukan sahaja dihadiri oleh ahli Pekida namun turut disertai oleh pihak individu dan NGO lain.

Sehubungan itu, Jamaludin meminta supaya ahlinya mengawal diri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak dingini berlaku serta tidak melakukan sebarang provokasi.

"Bukan arahan rasmi. Kita tak sempat nak keluarkan kenyataan, mereka dah pergi awal (ke Plaza Low Yat). Saya pula tinggal di Kedah. Tapi ada pihak tertentu di Kuala Lumpur dah maklumkan kepada saya. Jadi keadaan sebegini memang susah untuk ambil tindakan.

"Pekida akan pantau keadaan ini. Saya harap pihak yang terlibat dapat mengawal diri supaya keadaan tak jadi huru-hara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, beliau berkata, Pekida akan memantau insiden itu dan memastikan keadaan terkawal.

Jamaludin berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak keselamatan bagi memastikan keadaan yang lebih serius tidak berlaku.

"Pekida akan pantau keadaan ini. Kalau nak bergaduh ni memang sekejap, tapi nak baik balik akan memakan masa bertahun-tahun. Saya harap pihak yang terlibat kawal diri.

"Kita akan bendung keadaan ini. Kalau benda dah tak dapat dikawal, dan orang tak endahkan pihak keselamatan, Pekida akan ambil tindakan bersama pihak keselamatan," katanya lagi.

Bertukar ganas

Sabtu lalu, satu pergelutan berlaku di sebuah kedai telefon pintar di Plaza Low Yat selepas sekumpulan pemuda bergaduh dengan pekedai di pusat membeli-belah barangan elektronik itu.

Berdasarkan video yang dikongsi meluas terdapat sekumpulan pemuda mengamuk di premis itu.

New Straits Times Online melaporkan ia berlaku selepas rakan mereka ditahan kerana didakwa mencuri telefon bimbit.

Di Internet, terdapat versi bahawa pergaduhan berpunca daripada telefon yang dijual didakwa tidak asli.

Dalam kejadian pada jam 7.50 malam itu, kelihatan beberapa pekerja kedai telefon itu dipukul oleh kumpulan pemuda itu.

Ekoran itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Zainuddin Ahmad berkata polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun kerana merusuh dan masih memburu yang lain.

Berikutan kejadian itu, satu perhimpunan oleh kumpulan yang mendakwa mewakili NGO Melayu berhimpun di depan Plaza Low Yat semalam sebagai tindak balas insiden pergaduhan itu.

Mereka yang mula berkumpul di hadapan pusat membeli-belah tersebut kira-kira jam 7 malam didakwa mahu menuntut keadilan bagi tujuh individu terbabit.

Malah, perhimpunan yang dihadiri kira-kira 200 orang itu berlanjutan sehingga jam 1 pagi dan turut mencederakan beberapa wartawan dan seorang pekerja bar selepas perhimpunan itu bertukar ganas.

Lihat Komen
ADS