Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP Perak: Kami hormati objektif berbilang kaum

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengakui bahawa DAP negeri itu telah tersasar daripada objektif berbilang kaum parti itu, sepertimana yang ditegaskan ketua pemimpin parti itu, Lim Kit Siang.

"Lim tidak salah tentang DAP Perak," kata Nga, sebagai mengulas kritikan Lim dalam satu majlis di Perak semalam.

DAP bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 18 negeri - daripada 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi negeri di Perak - dalam pilihan raya umum lepas, tetapi tidak meletakkan sebarang calon Melayu.

Satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi negeri ditandingi wakil kaum India dan selebihnya dimenangi oleh wakil rakyat keturunan Cina.

Nga, yang juga penolong bendahari kebangsaan parti itu berkata, DAP Perak berkongsi wawasan parti dan Lim (gambar), yang dapat melihat 30 tahun akan datang dan menggesa dilakukan transformasi parti.

Jika parti itu mudah berpuas hati dan tidak mahu berubah, maka ia tidak akan dapat mengatasi pencapaian dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, kata Nga.

"Lim adalah seorang pemimpin politik yang pandangan jauh, tetapi (beliau harus) mengambil kira sama ada parti itu mampu seiring dengan beliau," kata Nga kepada Malaysiakini semalam.

"Ahli-ahli parti tidak takut dengan perubahan, tetapi mereka mempunyai keraguan sama ada parti itu dapat mencapai matlamatnya," kata beliau.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Taiping itu tidak menafikan bahawa beberapa ahli parti melihat usaha Lim untuk merekrut ahli Melayu sebagai sesuatu yang dilakukan secara tergesa-gesa dan radikal.

"Banyak ahli-ahli kami datang dari kampung, dan mereka mungkin tidak kenal kawan-kawan Melayu untuk dibawa masuk menyertai parti," kata Nga.

Mereka mahu membantu parti itu mencapai objektifnya, tetapi tidak tahu bagaimana, katanya.

Berikutan insiden pergaduhan di Plaza Low Yat Plaza, Lim menggesa parti itu melipatgandakan tenaga dan usaha bagi memastikan lebih ramai orang Melayu dan umat Islam menyertai parti itu.

Hanya dengan itu, tegas Lim yang juga ahli Parlimen Gelang Patah, DAP boleh menjadi wadah yang lebih berkesan.

"(Ini) adalah satu kesilapan politik yang serius, yang merupakan satu cabaran kepada DAP Perak untuk berusaha membetul dan mengatasinya, dalam masa yang sesingkat mungkin, kerana DAP tidak harus lupa matlamat kita yang lebih besar menjadi berbilang kaum," kata Lim.

[Baca berita penuh/asal]

 
 

Lihat Komen
ADS