Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas menikmati makan malam bersama rakan-rakan di Bukit Bintang, Patrick Lim memandu pulang ke rumahnya dengan tenang pada awal pagi Isnin lalu.

Bagaimanapun, pemanduannya terganggu apabila beliau bersama dua lagi rakannya diheret keluar daripada kereta yang sedang dipandunya oleh sekumpulan perusuh yang dianggarkan bilangan mereka kira-kira 100 orang.

Malah, sebuah video berhubung serangan terhadap Lim  juga menjadi viral di laman sosial. Video tersebut menunjukkan sekumpulan perusuh menyerang kereta Proton Wira hitam dan menyerang individu di dalam kereta itu.

Pihak polis pula berusaha untuk meleraikan kumpulan tersebut daripada terus menyerang sehingga menyebabkan salah seorang daripada anggota polis itu mengeluarkan pistol dan menghalakan ke udara.

Bercakap kepada pemberita buat pertama kalinya sejak kejadian itu, Lim, 21, bagaimanapun tidak menyimpan dendam.

"Ramai orang bertanya kepada saya kenapa saya tidak mahu membalas dendam. Ia adalah kerana saya mempunyai ramai kawan Melayu. Saya tidak mahu menjadi rasis.

"Kita dilahirkan di Malaysia, tak ada gunanya untuk lawan balik. Tetapi saya berharap agar tidak ada lagi kejadian seperti ini. Tak ada guna, kita rakyat Malaysia," kata Lim.

Lim berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengambil kereta Proton Wiranya yang dibaiki di sebuah bengkel di Kuala Lumpur.

Mengimbas kembali kejadian itu, bekas pemain bola keranjang negeri itu berkata, beliau langsung tidak bermaya ketika dipukul selama kira-kira 10 minit.

"Mereka buat kami seperti binatang," kata Lim yang berharap agar pihak yang memukulnya dibawa ke muka pengadilan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS