Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pekerja kilang ais didenda RM75,000 oleh Mahkamah Majistret di Alor Setar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barangan larangan di bawah Perintah Kastam bernilai RM6,430.

Majistret Mohd Azhar Hamzah menjatuhi hukuman itu terhadap Lim Chun Hui, 24, dan mengarahkan Lim dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, dua lagi rakannya, Ong Ann Beng, 28, dan Yap Win Soon, 27, yang turut didakwa atas pertuduhan yang sama di mahkamah yang sama, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kedua-dua mereka dilepaskan dengan ikat jamin RM6,000 setiap seorang dan mahkamah menetapkan 13 Ogos sebagai sebutan kes.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 9 Julai lalu, di premis beralamat nombor 492, Taman Sri Ampang, Jalan Kilang Tebu, Kota Setar pada pukul 2.45 pagi.

Menurut kertas pertuduhan, mereka didakwa memiliki 384 slop Rokok Saat (10 paket x 20 batang), 4 slop Rokok Gudang Garam Surya (10 paket x 12 batang), satu slop Rokok Gudang Garam (10 paket x 16 batang), dua slop Rokok Gudang Garam Surya (10 paket x 20 batang), tiga slop Rokok John White (10 paket x 20 batang), tiga slop Rokok John 16G (10 paket x 20 batang) dan dua slop Rokok John (10 paket x 20 batang).

Kesemua barang tersebut adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah perintah Kastam (Larangan Mengenai Import (Pindaan 2012), dan merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika didapati bersalah, hukuman boleh dikenakan menurut Seksyen 135(1)(ii) akta sama yang memperuntukkan denda minimum 10 kali ganda nilai barangan dan denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suriati Yahya manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebajikan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS