Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1,000 beri sokongan pada 'Harapan Baru' di Perlis

Kira-kira 1,000 orang hadir dalam siri ceramah kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang ditubuhkan oleh kumpulan progresif PAS, di Perlis - negeri kelahiran Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din - malam tadi.

Meskipun hujan turun di sebelah petang, ia tidak menghalang hadirin memenuhi kawasan lembab di lokasi ceramah di Kangar bagi mendengar ucapan daripada kepimpinan GHB.

Diketuai oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, pemimpin gerakan itu begitu berhati-hati supaya tidak mengkritik secara terbuka kepada rakan mereka dalam parti termasuk kumpulan ulama dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang boleh mengundang kritikan balas.

Bagaimanapun, hadirin memberi maklum balas ketika barisan kepimpinan GHB membidas kepimpinan PAS yang baru-baru ini muncul dengan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang bergelut dengan dakwaan penyaluran wang 1MDB.

Antara yang berucap ahli parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa, ahli parlimen Sepang Hanipa Maidin, peguam dan anak lelaki kepada bekas presiden PAS Faiz Fadzil Noor dan Aida Yusof Rawa yang membuat kenyataan untuk menunjukkan PAS beralih dari perjuangan asal dan mengapa GHB perlu disokong.

Mereka turut merayu supaya rakyat menyokong usaha "Selamatkan Malaysia" dengan menukar pemerintahan dan tidak hanya menukar Najib.

Mohamad atau mesra dipanggil Mat Sabu memberikan ucapan berapi dengan menyatakan bagaimana PAS memainkan peranan penting membawa Islam ke persada politik arus perdana sejak ditubuhkan pada 1951.

PAS juga telah menyertai BN sebelum ini seperti mana mereka menyertai Barisan Alternatif pada 1999 dan Pakatan Rakyat pada 2008 untuk mempromosikan perjuangan Islam.

"Tetapi sejak akhir ini, kita lihat ada beberapa perubahan dalam PAS. Malaysia adalah negara demokrasi dan kita mengadakan pilihan raya setiap lima tahun. Tapi sejak kita mengamalkan sistem first past the post , kemenangan kita ditentukan oleh siapa yang dapat banyak undi, bukan siapa yang kuat.

"Kita perlu berkerja dengan komuniti dan parti lain. Kita lihat sekarang parti ini yang banyak memberi sumbangan, telah meninggalkan arena yang menjadikan serba mungkin bagi semua kaum," katanya, merujuk kepada gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Beliau merujuk keputusan perwakilan PAS pada muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor bulan lalu yang mana cadangan Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS