| Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa melengah-lengahkan pembaharuan permit tabloid Semasa yang telah pun tamat pada dua bulan lalu.
Penerbit akhbar itu, Aziz Ismail memberithau malaysiakini hari ini permit Semasa tamat pada 19 Mac, 2001 tetapi sehingga kini masih belum mendapat sebarang penjelasan dari pihak KDN berhubung hal tersebut.
Sebelum itu KDN telah memangil kami untuk memberi teguran, jelas beliau yang telah berjumpa pihak KDN dua minggu sebelum permit tamat.
Aziz turut ditemani oleh Ketua Pengarang, Mat Jah Mat Yusof dan Pengarang, Nur Latifah Hasan dalam pertemuan satu jam itu.
Beliau menjelaskan bahawa pihak kementerian tidak membangkitkan sebarang isu cuma menyebutkan pihak atasan menasihatkan supaya pihak redaksi (pengarang) menggunakan pendekatan seimbang.
Tiada masalah
Akhbar Semasa yang diterbitkan tiga kali sebulan itu banyak memaparkan isu-isu semasa yang meliputi pelbagai aspek seperti politik, budaya dan sosial.
Bekas stringer Berita Harian itu berkata beliau mempunyai prinsip dan akan terus memaparkan keadaan semasa yang berlaku berdasarkan fakta.
Apabila ditanya sama ada beliau akan terus berusaha berhubung permit akhbar itu, Aziz mengulas perkara tersebut terpulang kepada pemilik permit iaitu Wartawan Media Semasa.
Tabloid Semasa diterbitkan di bawah syarikat penerbitan Wartawan Media Semasa dan diurusniagakan oleh Formulasi Citra, sementara dicetak oleh Angkatan Edaran Sdn. Bhd.
KDN ketika dihubungi mengesahkan tidak ada sebarang masalah dengan permohonan sambungan permit akhbar tersebut. Bagaimanapun pihak pengurusan permit menjelaskan kelewatan berpunca daripada masalah perpindahan kementerian tersebut ke pejabat barunya di Putrajaya dan permohonan akan diuruskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
|