Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DAP akan membuat laporan polis terhadap beberapa agensi kerajaan berhubung "konspirasi" untuk menggulingkan pembangkang lebih-lebih lagi berdasarkan tindakan kerajaan melarang sesetengah ahli parlimen meninggalkan negara ini.

"Saya akan membuat laporan polis terhadap Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan polis kerana menyalahgunakan kuasa serta berkonspirasi menumbangkan pembangkang," kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng pada sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut ahli parlimen DAP itu, laporan polis dibuat kerana kerajaan dilihat mengambil kenyataan daripada seorang bekas wartawan yang bankrap, Lester Melanyi disusuli tindakan menghalang ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada meninggalkan negara ini.

"Saya juga akan membuat laporan polis terhadap Lester," kata Lim.

Sementara itu, Setiausaha Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo pula memberi amaran kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya tidak bermain-main dengan pihak pembangkang.

Gobind berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Khalid sebelum ini yang mengatakan polis mengenalpasti pemimpin pembangkang yang bertemu dengan warganegara Switzerland, Xavier Andre Justo.

"Berhenti bermain-main. Anda kata sebelum ini ada ahli parlimen pembangkang yang dikenal pasti. Dan anda kata ada kemungkinan bahawa pihak polis akan menyoal mereka.

"Sekarang, beritahu kami siapa ahli parlimen itu? Adakah Tony Pua atau ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli?

"Saya juga ingin bertanya kepada ketua polis negara, di mana beliau mendapatkan maklumat ini dan mana buktinya memandangkan hakikatnya bahawa pihak polis masih belum menyoal Justo," kata Gobind.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS