Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berusia 90 tahun tetapi tetap bergaya, kekal tajam dalam penelitian dan 'bahaya' - mungkin itu yang dapat digambarkan pada penampilan James Bond istimewa di majlis meraikan Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur malam tadi.

Bertemakan A Night Of Stars , bekas perdana menteri itu tampil dengan kemas bergaya.

Sekeping poster diinsprasikan daripada filem ejen polis paling glamor di dunia terpapar di ruang sambutan. Ia diambil daripada filem ke-23 Bond, Skyfall lakonan Daniel Craig.

Turut dipaparkan poster filem Love Is All You Need dengan gambar Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Kedua-dua poster itu diletakkan di kiri dan kanan pintu masuk yang dihias seperti pintu gerbang ke dewan Manhattan, Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Malah, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu turut meluangkan masa bergambar di depan poster-poster itu.

Dr Mahathir tiba pada jam 8.25 malam dengan mengenakan sut berwarna hitam bersama "bow tie" warna sama ditemani Dr Siti Hasmah yang berbaju kurung merah jambu.

Ketika tiba, pasangan itu disambut oleh anak sulung Tan Sri Vincent Tan (Pengerusi Kumpulan Berjaya), Datuk Seri Robin Tan.

Antara tetamu hadir pada sambutan ulang tahun itu ialah Tan Sri Joseph Kurup (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri S Samy Vellu (bekas Presiden MIC), Datuk Seri G Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Tan Sri Lee Lam Thye (aktivis sosial), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (Ketua Umno Cheras) dan Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim.

Tidak ketinggalan, anak Dr Mahathir, Datuk Mokhzani dan isteri beliau.

Antara artis yang hadir pula ialah pengacara dan pelakon Sazzy Falak serta suami, pelakon Stephen Rahman Hughes dan model Amber Chia.

Majlis sambutan itu selesai kira-kira jam 11.20 malam.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tamat, Mahathir berkata beliau seronok dengan sambutan ulang tahunnya itu walaupun "terpaksa" menyanyi pada awal majlis.

"Saya kena menyanyi masa majlis mula. (Tetapi) saya seronok," katanya sambil tersenyum.

Lihat Komen
ADS