Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau bersetuju dengan tindakan diambil kerajaan terhadap The Edge Media Group semalam.

Ditemui media di majlis rumah terbukanya di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur hari ini Shahidan berkata, tindakan yang diambil Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertujuan untuk menyelamatkan negara.

"Saya menyokong apa saja tindakan diambil untuk menyelamatkan negara ini.

"Walaupun saya bukan menteri yang berkuasa (dalam isu penggantungan permit berkenaan) tetapi saya bersetuju supaya kita ambil tindakan kepada mereka yang mengancam keselamatan," katanya.

Shahidan mengulas keputusan KDN menggantung permit dua akhbar The Edge selama tiga bulan bermula Isnin ini.

Tindakan itu diambil berdasarkan laporan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dalam isu 1MDB yang dianggap "memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam".

Berdepan penggantungan itu pemilik syarikat penerbitan berkenaan sebaliknya enggan meminta maaf dan mempertahankan laporan mereka.

Penggantungan itu turut mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk ahli politik , tokoh perniagaan , bekas menteri dan wartawan .

Shahidan berkata tindakan KDN ke atas kumpulan media itu diperlukan sebagai langkah menjamin kestabilan ekonomi negara.

"Kita nak pastikan ekonomi kita stabil, malangnya ada yang terus menerus buat berbagai ancaman kepada negara.

"Jadi, kita kena ambil tindakan dan mereka (pihak berkuasa) bukan mengambil tindakan yang tidak adil tetapi berdasarkan undang-undang yang ada," kata ahli parlimen Arau itu lagi.

Lihat Komen
ADS