Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS minta TPM tak hanya bercakap tapi bertindak
Diterbitkan:  Jul 27, 2015 11:50 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Tidak perlu bagi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merungut mengenai 1MDB, dan bosnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, sekiranya beliau hanya sekadar bercakap tetapi tidak bertindak, kata PAS.

Jika tidak, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap luahan Muhyiddin semalam hanyalah "sekadar wayang bagi mengurangkan kerosakan imej terhadap Umno".

"Keseriusan Muhyiddin dalam isu 1MDB ini boleh diukur melalui kesanggupan beliau menuntut agar kabinet membatalkan penggantungan permit The Edge dan juga mendedahkan laporan interim 1MDB yang dilakukan Ketua Audit Negara kepada umum.

"Jika dua perkara ini tidak dapat diusahakan Muhyiddin, anggaplah luahan Muhyiddin semalam hanyalah sekadar wayang bagi mengurangkan kerosakan imej terhadap Umno," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim mendakwa Muhyiddin mempunyai sejarah bersuara lantang tetapi tidak melakukan apa-apa.

Beliau memetik amaran Muhyiddin awal tahun ini bahawa kerajaan akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat.

Bagaimanapun, timbalan presiden PAS itu berkata Muhyiddin tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan pembelian kontroversi tanah TRX oleh Tabung Haji, yang masih belum dapat dijual semula.

"Apakah Muhyiddin akan mendiamkan diri sekali lagi selepas bersuara lantang seperti lima bulan yang lalu?" tanya Tuan Ibrahim.

Sementara itu, exco Pemuda DAP Muhammad Shakir Ameer turut menyokong gesaan Tuan Ibrahim supaya Muhyiddin mengambil tindakan supaya ditarik balik penggantungan The Edge .

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS