Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun wakalah (pelantikan) peguam telah dibacakan bagi melantik peguam untuk kes rayuan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, namun masih terdapat halangan yang perlu dilalui oleh pihak peguam.

Menurut peguam Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman, pihaknya berdepan dengan cabaran untuk mendapat arahan daripada anak guamnya memandangkan bekas ketua pembangkang itu kini berada dalam penjara.

Katanya, dengan deretan permohonan daripada peguam-peguam lain untuk bertemu Anwar di Penjara Sungai Buloh, kes rayuan qazaf tersebut mungkin akan memakan masa.

"Ada cabaran kami iaitu untuk dapatkan arahan daripada Datuk Seri kerana beliau dalam penjara. Hari ini hanya untuk wakalah sahaja. Kami ada mohon tadi sejam untuk berbincang dengan Datuk Seri untuk dapatkan arahan dari beliau tetapi Pendaftar tak benarkan.

"Selepas ini kami akan buat permohonan lain. (Kerana) nak dapatkan arahan dari Datuk Seri kena duduk dan perlu buat catitan. Di penjara susah," katanya kepada pemberita selepas sesi lantikan peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Selain Kamar ( gambar ), Anwar hari ini juga melantik enam orang peguam untuk mewakilinya dalam kes rayuan qazaf itu. Antara yang dilantik ialah Datuk Dr Mohd Rafie Mohd Shafie, Dr Mohd Reza Mohd Rafie dan Fazlina Mohd Sidek.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tarikh perbicaraan kes rayuan itu, Kamar berkata ia masih belum ditetapkan memandangkan pihaknya perlu menjawab afidavit daripada pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Mereka memohon untuk batalkan rayuan Datuk Seri. Tarikh perbicaraan belum ditetapkan sebab sekarang ini ada permohonan untuk batal dan ketepikan permohonan Datuk Seri. Jadi kita kena hadapi itu dulu. Prosedurnya ialah kami akan menjawab (afidavit) dulu. Dan kita akan buat afidavit dalam masa terdekat yang boleh," katanya lagi.

Jamil dan dua lagi memfailkan permohonan pada Mei lalu untuk membatalkan serta mengetepikan kes rayuan qazaf yang melibatkan Anwar.

Kes rayuan qazaf ini dibuat berikutan Mahkamah Persekutuan mendapati Anwar bersalam dalam kes Liwat II.

Anwar telah memohon Mahkamah Rayuan Syariah untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada April 2010 yang menolak permohonan qazaf beliau.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Lihat Komen
ADS