Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wangsa Walk: 3 lelaki dipenjara sebulan
Diterbitkan:  Jul 27, 2015 8:48 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur setelah mereka mengaku bersalah mencederakan seorang remaja lelaki 16 tahun dalam pergaduhan di pusat beli-belah Wangsa Walk di ibunegara minggu lepas.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap dua beradik iaitu Noor Afandi Jalaudin, 29, dan Noor Azuan, 21, serta Muhammad Fairus Estman Mat Rani, 21, dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap, 20 Julai lepas.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan mahkamah menetapkan 25 Ogos untuk laporan akhlak dan jatuh hukum. 

Keempat-empat tertuduh didakwa mencederakan remaja itu di dalam pejabat sekuriti pusat beli belah berkenaan di Wangsa Maju di sini, pada pukul 6.50 petang, 20 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Selain itu di mahkamah sama, tiga remaja lelaki berusia antara 14 dan 15 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan bersama-sama 16 orang lagi yang masih bebas merusuh menggunakan kayu, 'forklock', papan tanda kuning, besi dan topi keledar di aras bawah pusat beli-belah sama pada jam 6.45 petang, pada hari yang sama.

Turut didakwa atas pertuduhan sama, Muhammad Azwan Rafyudi, 19, seorang penganggur, namun dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu.

Mahkamah membenarkan Muhammad Azwan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Ogos untuk sebutan semula kes.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesemua kes melibatkan remaja bawah umur, mahkamah menetapkan 25 Ogos depan untuk keputusan laporan akhlak dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak, manakala peguam Tharamjit Singh mewakili Muhammad Azwan dan selebihnya tidak diwakili peguam.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Muhammad Azwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan seorang lagi mangsa iaitu pelajar lelaki 17 tahun dalam insiden pergaduhan yang sama.

Tertuduh didakwa menyebabkan cedera parah terhadap pelajar lelaki itu dengan menggunakan sebatang kayu di pusat beli-belah itu pada jam 6.45 petang, hari yang sama.

Tertuduh yang dilihat menangis sepanjang prosiding didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Azman Mustapha membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat tambahan, tertuduh tidak dibenar mengganggu mangsa yang masih berada dalam keadaan koma dan juga saksi dan menetapkan 13 Ogos untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Mokhtar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS