Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada kecederaan meragukan pada Dharmendran
Diterbitkan:  Jul 28, 2015 6:23 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Seorang Majistret Koroner hari ini memberitahu panel Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bahawa tiada sebarang kesan kecederaan meragukan ditemui pada mayat N

Dharmendran, tahanan yang mati dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL), dua tahun lepas.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin berkata beliau telah melakukan pemeriksaan bermula dari hujung kepala sehingga ke kaki mangsa termasuk di bahagian badan belakang mayatnya.

"Saya mulakan dengan memeriksa bahagian kepala, dada, perut sehingga ke bahagian bawah mayat. Saya periksa bahagian muka dan pemeriksaan cuma berdasarkan fizikal luaran si mati sahaja.

"Saya meminta anggota polis terbalikkan badan si mati untuk memeriksa bahagian belakang si mati dan lihat jika ada kecederaan meragukan tetapi sepanjang pemeriksaan luaran yang dibuat saya tidak menemui sebarang perkara yang meragukan pada ketika itu," katanya.

Erry Shariman berkata beliau telah ditugaskan ke IPK KL pada 21 Mei 2013 setelah dimaklumkan oleh seorang pegawai bertugas mahkamah mengenai kematian seorang tahanan di lokap.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi keempat pada sesi pendengaran awam EAIC berhubung kematian Dharmendran di bilik Pendengaran, Tingkat 13 Menara TH Perdana hari ini.

Erry Shahriman adalah antara 10 saksi yang dipanggil memberi keterangan.

Menurutnya ketika tiba di lokap, beliau melihat mayat mangsa berada di tengah-tengah lokap dalam keadaan terlentang muka ke atas dengan bajunya terselak.

"Saya ada bertanya pegawai yang menjaga lokap (mengenai baju terselak) dan dia mengatakan bahawa mangsa mengadu sakit dada dan merasa kepanasan menyebabkan mangsa menyelak pakaiannya," katanya.

Ketika ditanya Perunding EAIC Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin  keadaan mayat ketika itu sama ada dalam keadaan sejuk atau panas, Erry Shahriman berkata beliau tidak dapat memastikan perkara itu kerana memakai sarung tangan ketika menyentuh mayat.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia pada 21 Mei ketika dalam tahanan di IPK KL.

Susulan itu, empat anggota polis dari IPK KL ditahan dan didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.

Pada 12 Disember 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan empat anggota polis itu daripada tuduhan membunuh kerana mendapati tiada prima facie terhadap mereka.

Prosiding bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS