Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khaled harap kabinet baru mampu selesai masalah
Diterbitkan:  Jul 29, 2015 8:20 AM
Dikemaskini: 1:27 AM

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih timbalan presiden Umno dan berharap semua pihak terus menghormatinya.

"Di Johor, saya tiada sebarang halangan bagi mana-mana bahagian yang telah dan ingin menjemput beliau untuk merasmikan mesyuarat-mesyuarat Umno bahagian masing-masing," katanya dalam posting Facebook

Ini ekoran tindakan beberapa bahagian Umno membatalkan jemputan kepada Muhyiddin (gambar) selepas beliau mengkritik pengendalian 1MDB oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa merasmikan mesyuarat Umno bahagian Cheras minggu lepas.

Semalam, Najib mengumumkan rombakan kabinet di mana Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggantikan Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri.

Khaled turut berharap agar ahli-ahli Umno terutamanya dari Johor bersabar dan melalui saat-saat kini dengan penuh kekuatan dan kesabaran.

Sementara itu, Bernama melaporkan Khaled berkata barisan kabinet yang baru dibentuk diharap mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi negara, sebagaimana keyakinan perdana menteri untuk menyelesaikannya dalam masa yang munasabah.

Mengulangi sokongan kepada perdana menteri, Khaled Nordin berkata jika soal untuk mempunyai kekuatan itu termasuk membuat rombakan kepada barisan kabinet serta menggugurkan Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri, mereka menerima ketetapan itu.

"Lebih-lebih lagi kerana kita sedar bahawa ia adalah hak dan budi bicara perdana menteri," kata Khaled, dalam satu kenyataan malam tadi.

Khaled yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Johor itu berkata, pada 15 Mei lepas, perdana menteri telah mendapat sokongan dari Umno Johor untuk menyelesaikan segala isu dan masalah yang dihadapi, khususnya isu 1MDB. 

Lihat Komen
ADS