Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

‎Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal berkata beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat ini.

"Saya akan hadir demi kepentingan parti dan tetap akan perjuangankan kepentingan rakyat," kata Shafie yang juga naib presiden Umno ketika ditemui di kediamannya malam tadi.

Kediaman beliau dipenuhi keluarga terdekat dan saudara-mara selepas beliau digugurkan daripada jawatan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Shafei menyifatkan penggugurannya adalah hak perdana menteri yang boleh membuat rombakan apabila dirasakan perlu.

Beliau menegaskan akan‎ memperjuangkan kepentingan rakyat dan sentimen akar umbi.

‎Sebelum ini MP Semporna itu dilihat sering menyuarakan pandangan tidak selari dengan Najib dalam isu membabitkan 1MDB.

Tinjauan Malaysiakini malam tadi mendapati Mohd Shafei kelihatan bersahaja dan melayan tetamu yang hadir memberi sokongan kepada beliau dalam suasana ceria.

Kira-kira 80 orang tetamu berada di dalam rumah kediaman rasmi beliau di Jalan Bellamy, Bukit Petaling itu.

Sepanjang berada di rumahnya sehingga jam 11.30 malam, beliau yang memakai baju Melayu putih dan berseluar hitam berbual mesra dengan tetamu dan beberapa kali bercakap di telefon.

Tiada rakan-rakan politik atau tokoh tertentu yang kelihatan berada di rumahnya. Malah beliau juga dilihat tidak menjadi buruan media seperti mana bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut digugurkan.

Lihat Komen
ADS