Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Badan pemikir pertikai PAC tangguh prosiding 1MDB
Diterbitkan:  Jul 29, 2015 11:33 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Sebuah badan pemikir mempertikaikan pengumuman penangguhan prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB susulan pelantikan pengerusinya sebagai anggota jemaah menteri.

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berhujah Peraturan 77(3) Dewan Rakyat menyebut semasa ketiadaan pengerusi atau naib pengerusi PAC kerana keuzuran atau sebab lain, PAC hendaklah memilih salah seorang anggotanya mempengerusikan mesyuarat.

“Hal ini bermaksud, prosiding PAC yang diatur pada Ogos membabitkan 1MDB tidak perlu ditangguhkan.

“Sebaliknya, naib pengerusi PAC boleh mempengerusikan mesyuarat PAC mengenai 1MDB akan datang.

“Biarpun naib pengerusi tidak hadir dalam mesyuarat, PAC hanya perlu memilih daripada kalangan ahli PAC seorang Pengerusi untuk meneruskan mesyuarat PAC mengenai 1MDB,” kata Pengarah eksekutif KPRU Ong Ooi Heng ( gambar ).

Nur Jazlan semalam berkata beliau terpaksa melepaskan kedudukannya sebagai pengerusi PAC berikutan perlantikannya sebagai timbalan menteri dalam negeri.

Beliau juga memberitahu bahawa prosiding jawatankuasa itu mengenai 1MDB pada bulan depan akan ditangguhkan ekoran pelantikan empat anggota PAC sebagai menteri atau timbalan menteri.

Presiden 1MDB dipanggil Ogos

Dalam kenyataannya hari ini, Ong membangkitkan juga Peraturan 77(2) yang menyebut berhubung keanggotaan PAC antara enam hingga 12 anggota yang akan dilantik jawatankuasa pemilih dengan segera selepas sidang parlimen dimulakan.

Justeru, kata Ong, pelantikan empat ahli PAC ke dalam kabinet tidak menjejaskan prosiding 1MDB.

“Asalkan terdapat sekurang-kurangnya enam ahli PAC hadir dalam mesyuarat, prosiding PAC mengenai 1MDB boleh dan wajar diteruskan tanpa berlengah-lengah lagi,” katanya.

PAC dijadual mendengar keterangan Presiden 1MDB Arul Kanda, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman minggu depan.

Pada pertengahan Ogos, PAC sepatutnya memanggil dua pengarah 1MDB - Mohd Bakke Salleh dan Azlan Mohd Zainol - yang berhenti pada tahun 2009.

PAC juga telah memanggil hartawan perniagaan Jho Low melalui Kementerian Kewangan.

Berikutan kenyataan Nur Jazlan itu, tidak pasti sama ada saksi masih mengiktiraf kesahan PAC dan akan hadir.

Lihat Komen
ADS