Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada siapa berhak desak Muhyiddin lepas jawatan
Diterbitkan:  Jul 29, 2015 1:30 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menggesa semua pihak agar tidak menekan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melepaskan jawatan beliau sebagai timbalan presiden parti itu.

Ini kerana, menurut Syed Ali tiada siapa yang berhak untuk berbuat demikian.

Katanya, jawatan orang nombor dua dalam Umno yang disandang Muhyiddin adalah lantikan daripada ahli akar umbi.

"Perkara ini belum pernah terjadi. Tidak ada alasan untuk berbuat demikian dan kalau ada sekali pun ia perlu alasan yang kukuh.

"Dalam parti dia timbalan presiden jadi biarlah ia berjalan seperti biasa," katanya dalam sidang media di Cheras hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam dalam rombakan mengumumkan pengguguran Muhyiddin sebagai timbalannya serta beberapa menteri yang lain.

Dipercayai langkah itu ekoran kontroversi 1MDB. Bagaimanapun Najib berkata, rombakan itu bagi mengukuhkan lagi pentadbiran negara.

Bercakap di Mesyuarat Agung Umno bahagian Cheras pada Ahad , Muhyiddin berkata jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat ini parti itu akan mengalami kekalahan teruk ekoran kontroversi 1MDB.

Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan kenyataannya itu bukanl kritikan terhadap Najib.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata ucapan Muhyiddin berhubung isu 1MDB hanyalah bagi tujuan mempertahankan institusi parti itu.

Malah, menurut Syed Ali ucapan bekas timbalan perdana menteri itu langsung tidak menyebut agar Najib berundur.

"Saya bukan nak pertahankan Muhyiddin. Ucapan dia hanyalah bertujuan mempertahankan institusi parti.

"Saya berada di sana dan saya mendengarnya," tegas Syed Ali.

Kesal kehadiran dipertikai

Sementara itu, Syed Ali berkata beliau kesal dengan kenyataan beberapa pihak semalam yang mempersoalkan kehadirannya ke rumah ahli Parlimen Pagoh itu.

Syed Ali berkata beliau bukanlah penyokong tegar mana- mana pemimpin negara ini sebaliknya kehadirannya semalam hanya kunjungan hormatnya kepada timbalan presiden Umno itu.

"Tak akan tak boleh ziarah kita punya timbalan presiden?

"Dalam keadaan dia terkeluar sebagai timbalan perdana menteri, semua orang patut jauhkan diri dan tinggalkan dia...ini tidak adil.

"Jangan sekali-kali menidakkan (Muhyiddin)...jasa dia tetap ada kepada parti," katanya.

Lihat Komen
ADS