Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor lulus beberapa permohonan berkait projek Langat 2
Diterbitkan:  Jul 30, 2015 9:20 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Kerajaan negeri Selangor menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini meluluskan beberapa permohonan yang dikemukakan agensi dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan projek pembinaan Langat 2 berjalan lancar.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata kelulusan itu antara lain melibatkan kebenaran merancang bagi projek berkenaan selain pelaksanaan kerja-kerja projek di tapak yang terlibat.

"Hari ini kita (MTES) beri kelulusan kepada beberapa permohonan yang diterima dari Pejabat Tanah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Perhutanan Negeri (melibatkan proses pembinaan Langat 2 )," katanya kepada Bernama di majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di kediaman rasmi beliau di Shah Alam hari ini.

Langat 2 merupakan sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini dilaporkan berkata kelewatan projek loji rawatan air Langat 2 berlaku kerana kerajaan Selangor mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempatan menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga penstrukturan semula industri air di Selangor dimuktamadkan.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata pengagihan kerusi dalam kalangan pakatan pembangkang bagi pilihan raya negeri Sarawak perlu dibincang dengan teliti bagi mengelak berlakunya pertindihan kerusi.

Beliau berkata ia perlu dibuat dengan mengambil kira hasrat Gerakan Harapan Baharu (GHB), yang diuar-uar mahu bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Penerangan PAS Sarawak, Andri Zulkarnaen sebelum ini bahawa GHB Sarawak bersedia meletakkan calon pada pilihan raya negeri akan datang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS