Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid beri jaminan Muhyiddin tak akan ditangkap
Diterbitkan:  Jul 31, 2015 9:00 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Timbalan Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan ditangkap.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri berkata demikian sebagai mengulas khabar angin bahawa Muhyiddin akan ditahan selepas video yang bocor menunjukkan beliau mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan dakwaan menerima RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya.

Zahid berkata, beliau menerima banyak panggilan bertanyakan sama ada benar bahawa bekas timbalan perdana menteri itu akan ditahan.

Menurut Zahid, beliau memberi jaminan kepada mereka bahawa ia tidak benar.

"Khabar angin ini benar-benar tidak masuk akal," katanya sambil menambah bahawa beliau menghubungi peguam negara dan ketua polis negara untuk mengesahkan dakwaan itu, dan mereka menyangkalnya.

"Saya kemudian menghubungi (Muhyiddin) pada pukul 2 pagi (semalam) untuk memberi jaminan kepada beliau dan isterinya bahawa polis tidak mencari mereka," kata Zahid dalam temu bual dengan The Star yang disiarkan hari ini.

Zahid berkata tidak ada sebab untuk Muhyiddin ditangkap dan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin tersebut.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penyebar angin khabar ini. Khabar angin ini berniat jahat," Zahid dipetik sebagai berkata.

Muhyiddin telah digugurkan Selasa lalu dari jawatan timbalan perdana menteri kerana mengkritik pengendalian 1MDB oleh Najib.

Pada malam yang sama, beberapa rakan-rakan rapat mengunjungi kediaman Muhyiddin di Kuala Lumpur, di mana beliau menceritakan kepada mereka bahawa beliau telah bersemuka dengan Najib mengenai dakwaan Wall Street Journal yang RM2.6 bilion telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Dalam video itu, Muhyiddin mendakwa bahawa Najib telah mengaku dan berkata wang itu datang dari Timur Tengah.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS