Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan Demi Kebebasan Media mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini bagi menyatakan solidariti bersama The Edge Media Group  serta dua penerbitan yang digantung.

Himpunan dikenali sebagai "808" itu akan bermula pada jam 11 pagi di Pasar Seni  dan peserta kemudian bergerak ke arah Ibu Pejabat Majlis Peguam.

Perkara itu diumumkan gabungan tersebut di ibu pejabat The Edge di Petaling Jaya petang ini.

Gabungan itu disertai Gerakan Media Marah (GERAMM), institute Of Journalist ( IOJ), Foreign Correspondents Club Of Malaysia (FCCM), Reporter Sans Frontieres (RSF) dan Center for Indipendent Journalism (CIJ).

Terbesar dalam 10 tahun

Dalam kenyataan dikeluarkan, mereka menyeru kerajaan menghentikan semua sekatan akses yang telah dikenakan ke atas Sarawak Report dan The Edge serta-merta.

“Media harus dibenarkan untuk mendapatkan maklumat serta melaporkan isu-isu kepentingan awam tanpa takut atau berpihak,” kenyataan itu dipetik.

Sementara itu, menurut jurucakap Gabungan Demi Kebebasan Media, Fathi Aris Omar perhimpunan hari ini merupakan pertemuan terbesar sejak 10 tahun lalu kerana turut disertai oleh kumpulan media dari luar negara.

Tambahnya lagi, perkembangan itu menunjukkan terdapat kesedaran mengenai tindakan kerajaan menyekat akses terhadap Sarawak Report dan penggantungan The Edge adalah tindakan keterlaluan.

“Perhimpunan hari ini saya anggap berjaya kerana ramai wartawan hadir. Saya rasa dalam pengalaman saya aktivis kebebasan media, ini antara kehadiran kumpulan wartawan terbesar dalam tempoh 10 tahun.

“Ini satu inisiatif yang baik dan menandakan kita sedar tindakan kerajaan terhadap Sarawak Report dan The Edge adalah keterlaluan,” katanya kepada Malaysiakini .

 

Gabungan Demi Kebebasan Media mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini bagi menyatakan...

Posted by Malaysiakini (BM Version) on  Friday, July 31, 2015

Fathi berkata, tindakan kerajaan menyekat laporan mengenai 1MDB adalah keterlaluan dalam proses demokrasi.

Beliau turut menyeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik langkah yang diambil sebelum ini dan menghentikan amalan memberi amaran kerana hanya akan menakutkan media.

“KDN jangan beri amaran kepada portal untuk menakut-nakutkan media.

“Kerajaan mesti sedar tindakan menyekat media tindakan yang tidak membantu untuk pulihkan kredibiliti kerajaan untuk pulihkan skandal 1MDB," katanya.

Himpunan disertai kira-kira 100 pengamal media yang melaungkan 'Bebaskan media' dan 'Hidup media".

Mereka yang memakai pakaian berwarna hitam mula berkumpul pada jam 3 petang.

Walaupun dalam keadaan hujan lebat, laungan diketuai aktivis media, Radzi Razak.

Himpunan tamat pada jam 4 petang.

Lihat Komen
ADS