Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan publisiti buruk ke atas 1MDB yang menyebabkan syarikat pelaburan itu dipandang keji di mata orang ramai.

Hinggakan, syarikat pelaburan 1MDB kini dilihat langsung tidak berjasa kepada negara walaupun banyak menghulurkan bantuan kepada golongan jemaah haji dan golongan kurang berkemampuan.

"Kerana persepsi fitnah memerangi fikiran rakyat, maka (setiap) satu kebaikan jadi salah.

"Sebab bila menyerang 1MDB, seolah-olah tak ada langsung jasa (1MDB) pada kita. Jasa (1MDB) sebenarnya banyak," katanya.

Beliau juga kecewa kerana rakyat kini melihat segala kebaikan yang dibuat 1MDB kini sebagai satu kesalahan.

Selain program tajaan haji, 1MDB juga telah membaiki rumah penduduk yang usang dan turut membantu golongan nelayan miskin.

"Kenapa dilihat seolah-olah 1MDB ini buruk? Inilah persepsi yang telah mengetuai segalanya," katanya lagi.

Selain itu, kata Najib yang juga ahli Parlimen Pekan, masyarakat kini gemar untuk percaya kepada sesuatu berita tanpa usul mengetahui faktanya terlebih dahulu.

Dengan memberikan contoh "fitnah" mengenai pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh Lembaga Tabung Haji, Najib berkata isu tersebut digemparkan oleh sesetengah pihak seolah-olah "langit nak jatuh".

"Bila Tabung Haji nak beli sekeping tanah TRX kepunyaan 1MDB, bukan main riuh satu negara. Macam langit nak jatuh. Seolah-olah Tabung Haji nak guna simpanan pendeposit untuk selamatkan 1MDB.

"(Ia) satu fitnah yang tersebar luas dalam sekelip mata kerana persepsi dunia hari ini terbentuk melalui jari-jari manusia.

"Bukan dari surat layang, tetapi melalui jari-jari manusia. Dalam sekelip mata, begitu pantas merebak satu negara," kata Najib.

Secara realitinya, Najib menjelaskan, pembelian tanah TRX bertujuan untuk pelaburan memandangkan kawasan tersebut berpotensi besar.

"Kenapa bila Tabung Haji beli tanah di London, Melbourne tak timbul isu? Kenapa beli tanah kebetulan milik 1MDB jadi isu. Kenapa? Ini kena tanya balik pada diri kita," kata Najib lagi.

Lihat Komen
ADS