Istana Kampong Gelam yang pernah diduduki oleh Kesultanan Johor akan diwartakan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) sebagai Monumen Kebangsaan Singapura ke-70 pada 6 Ogos ini.
Bekas istana raja itu menjadi kenangan hubungan bersejarah Singapura dengan dunia Melayu.
Sebelum kedatangan Sir Stamford Raffles, Singapura merupakan sebahagian daripada kerajaan Melayu di Asia Tenggara dan merupakan sebahagian daripada Kesultanan Johor-Lingga-Riau pada 1819.
Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Warisan Melayu (MHF) Zuraidah Abdullah berkata: "Kami sangat gembira Istana Kampung Gelam akan digazetkan sebagai Monumen Kebangsaan ke-70."
Beliau berkata langkah itu tepat pada masanya kerana ia merupakan pengiktirafan hubungan bersejarah Singapura dengan dunia luas Melayu serentak dengan perayaan Jubli Emas Singapura.
"Langkah mewartakan Istana Kampong Gelam sebagai Monumen Kebangsaan juga pengiktirafan kepada peranan masyarakat dan budaya Melayu dalam pembentukan sejarah dan pembangunan Singapura sebagai negara yang progresif dan makmur," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh NHB.
- Bernama