Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami Gabungan Anak Muda Demi Malaysia dengan sekeras-kerasnya mengecam tindakan pihak polis yang melampau dalam menahan peserta Himpunan #TangkapNajib.

Hak berhimpun dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan sebarang undang- undang yang bercanggah dengan peruntukkan ini terbatal secara automatik.

Malah, notis 10 hari yang diuar-uarkan oleh pihak polis adalah tidak sah dari segi undang-undang berikutan kes timbalan pendakwa raya (DPP) melawan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdapat tiga ulasan hari ini.

Yang pertama, tiga daripada wakil Demi Malaysia ditahan semalam bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, kerana kononnya mengganggugugat sistem demokrasi berparlimen negara. Petang tadi, Mandeep Singh direman selama empat hari, Syukri Razab direman selama enam hari, dan Adam Adli Abdul Halim direman selama enam hari. Jika didakwa dan disabit kesalahan, mereka berkemungkinan dipenjarakan selama 20 tahun maksimum.

Kita juga mendapat maklumat daripada peguam Demi Malaysia bahawa Safwan Anang dan Fahmi Zainol turut ditahan, dan berkemungkinan besar akan disiasat di bawah seksyen yang sama seperti Mandeep, Syukri dan Adam Adli.

Kedua, Demi Malaysia ingin menegaskan bahawa pihak polis telah memberi jaminan pada hari Khamis bahawa tidak ada penahanan yang akan dibuat sekiranya pihak penganjur bekerjasama dengan pihak polis. Namun, ketiga-tiga wakil daripada gabungan Demi Malaysia yang disebut tadi telah dicekup sebaik sahaja selesai memberikan keterangan di balai polis semalam.

Ketiga, pihak polis telah berjanji semalam bahawa peserta berhak dan dibenarkan berkumpul, dengan syarat kami tidak berarak. Namun sepertimana yang kita lihat petang tadi, 29 peserta telah ditahan secara keras. Mereka dalam lingkungan 14 sehingga 69 tahun.

Kesemua 29 orang yang ditahan (23 lelaki dan 6 perempuan) akan disiasat bawah Seksyen 143 dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan. Kita ingin menegaskan bahawa perhimpunan #TangkapNajib adalah sah di sisi undang-undang.

Sepatutnya Himpunan #TangkapNajib kali ini dijadikan kayu ukur untuk menilai prestasi timbalan perdana menteri baru, yang juga merupakan merangkap menteri dalam negeri yang berkuasa atas pihak polis.

Pihak penganjur #TangkapNajib berpendapat bahawa tindakan keras pihak polis ini bertujuan menakut-menakutkan orang ramai.

Apa tugas pihak polis sebenarnya? Melindungi rakyat, menangkap pencuri, perompak dan penjenayah-penjenayah lain. Namun, ini bukan yang kita perlihatkan. Rakyat marhaen, mahasiswa dan aktivis yang langsung tidak menggugat keselamatan negara ditangkap, manakala yang tertuduh pula bebas. Kita cuma mendesak supaya perdana menteri ditangkap dan disiasat.

Persoalan yang timbul sekarang adalah, bolehkah masyarakat umum terus menaruh kepercayaan kepada janji pihak polis dengan janji-janji yang dimungkiri.

Kami ingin menyeru kepada orang ramai supaya tidak kehilangan fokus. Himpunan petang semalam merupakan peringatan kepada orang ramai bahawa isu-isu seperti 1MDB belum selesai. Persoalan “adakah RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri Najib Razak” sehingga kini belum dijawab.

Anak muda Demi Malaysia menegaskan bahawa kami tidak akan berhenti untuk terus menegakkan keadilan dan menyeru kepada orang ramai untuk terus bersama dalam perjuangan ini.


DEMI MALAYSIA

Lihat Komen
ADS