Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Lembah Pantai menyokong penuh kerjasama antara Umno dengan PAS.

Ketuanya, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata ini kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri yakin dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din yang mahu presiden Umno itu kekal mentadbir negara.

"Dua hari lepas presiden ada sebut walaupun ada orang Umno yang suruh dia letak jawatan tetapi jelas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS mengatakan mahu Najib kekal sebagai PM.

"Ini menunjukkan ada keterbukaan pihak PAS untuk bekerjasama," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai hari ini.

"Saya rasa kita boleh mula bekerjasama dengan persempadanan semula yang perlu diadakan sudah lebih 10 tahun.

"Apa yang berlaku dalam PAS hari ini adalah sebagai permulaan untuk kita bekerjasama," katanya.

Bagaimanapun, Raja Nong Chik berkata rakan komponen parti itu MCA dan MIC agar tidak gusar dengan kerjasama tersebut.

"Rakan-rakan komponen jangan takut...pada saya kalau orang Melayu-Islam bersatu negara kita akan lebih kuat dan tuan-tuan tidak akan pening kepala bila Melayu-Islam bersatu,"jelasnya.

Raja Nong Chik juga berkata Umno perlu memberi ruang kepada PAS  untuk terus bergerak ke hadapan sekali gus memenangi hati pengundi.

"Pada saya mungkin pihak Umno... kita kena ubah sikit bagi ruang kepada kawan-kawan kita daripada PAS yang mungkin kita untuk bergerak ke hadapan," katanya.

Lihat Komen
ADS