Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat pengajian di PP nafi jadi pusat hadis palsu

Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang (PPDHPP) hari ini menafikan pusat pengajian itu dijadikan pusat penyebaran hadis palsu seperti yang disebar di laman sosial.

Pengetuanya Mohamad Hanif Haron berkata penyebaran maklumat berunsur fitnah itu memburukkan nama pusat pengajian yang beroperasi sejak akhir tahun 2013 dan berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Kami percaya penyebaran maklumat berunsur fitnah itu sengaja dilakukan bagi menghalang usaha PPDHPP mengumpul dana RM1.8 juta untuk membeli tanah seluas 2.1 hektar di Pokok Machang, di sini bagi dijadikan bangunan pusat kami," katanya pada sidang akhbar di Tasek Gelugor hari ini.

Sejak semalam dakwaan PPDHPP menjadi pusat penyebaran hadis palsu tersebar di laman sosial Facebook dan WhatsAapp.

Mohamad Hanif berkata Penasihat Kehormat pusat berkenaan ialah bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 19 pelajar lelaki mengikuti kelas tahfiz di pusat itu.

Ditanya mengenai kutipan dana itu, Mohamad Hanif berkata pihaknya memulakan usaha itu tahun lepas dan berjaya membeli tanah berkenaan awal tahun ini dengan membayar deposit 10 peratus sebanyak RM200,000.

"Kami diberi masa enam bulan oleh pemilik tanah untuk menyelesaikan bakinya dengan tiga bulan tanpa faedah dan tiga bulan berikutnya dikenakan faedah enam peratus," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Islamic 8602203376; Bank Islam 07043011037033; Maybank 557410514185 atau Bank Rakyat 111221000202 atas nama Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman Facebook Maahad Darul Hadis Pulau Pinang atau hubungi 019-4037435 atau 019-4156411, katanya yang meminta orang ramai tidak menyumbang menerusi akaun individu kerana pusat itu tidak pernah mengutip dana menerusi individu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS