Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nasihat untuk ahli Umno di negeri pembangkang
Diterbitkan:  Aug 3, 2015 6:00 AM
Dikemaskini: 11:07 PM

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga menteri besar Kedah menasihatkan ahli Umno khususnya di negeri dikuasai pembangkang supaya benar-benar menjuarai rakyat dalam usaha mengembalikan negeri itu semula kepada BN.

"Seperti kami di Kedah, ketika kami kehilangan negeri ini pada PRU12, kami ambil pandangan daripada Terengganu yang berjaya dirampas semula daripada pembangkang dan dari situ kami benar-benar faham apa sebenarnya rintihan rakyat, juarainya dan kami tunjuk bagaimana nak selesaikannya.

"Kami bergerak seperti NGO dengan berkempen di sana sini dan respons kami terima begitu luar biasa di mana kami dapati memang banyak perkara rakyat tidak puas hati dengan kerajaan negeri.

"Saya bukan nak mengajar tetapi ingin berkongsi pengalaman, saya tahu situasi dan pecahan penduduk di Selangor dan Kedah berbeza namun mungkin ada sedikit iktibar untuk dicungkil dan dijadikan suntikan semangat," katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertingi Umno menegaskan demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang Datuk Shamsuddin Lias, Naib Ketua Umno bahagian Tanjong Karang Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua Pemuda Umno bahagian Tanjong Karang Maruwan Ahmad.

Mukhriz juga menasihatkan ahli Umno yang hilang jawatan atau tewas dalam pilihan raya umum (PRU) supaya tidak kecewa kerana segala yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

Apa yang penting, katanya, ialah mengambil iktibar daripada setiap kegagalan atau kekalahan.

"Mungkin kita tiba-tiba hilang jawatan atau kalah dalam PRU atau pemilihan parti dan mungkin itu mengecewakan tetapi percayalah, Allah ada perancangan lebih baik untuk kita.

"Saya dalam politik terumbang-ambing... sekejap turun, naik tetapi lebih banyak turun di mana saya tewas pemilihan ketua pemuda dan naib presiden. Tetapi saya tenang sahaja kerana saya tahu Allah akan beri yang lebih baik pada saya. Tidak ada keadaan yang mustahil bagi kita," katanya.

Sementara itu, ketika ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita Umno bahagian Kota Raja di Shah Alam malam tadi, Mukhriz menyarankan kerajaan menguatkuasakan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) sebaik mungkin bagi menghalang penyebaran sebarang anasir jahat yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Katanya, ini kerana rakyat sudah muak dengan pelbagai kenyataan yang dilontarkan oleh sesetengah pihak sejak kebelakangan ini yang langsung tidak menjaga sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Katanya, beliau secara peribadi kecewa dengan pemansuhan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan ke atas pihak yang cuba memporak-perandakan negara.

"Ia digantikan oleh POTA. Ini undang-undang baru yang kita harap akan dikuatkuasakan sebaik mungkin.

"Ini perlu sebab percayalah saya rasa tak mustahil kalau ada musuh-musuh dari luar negara sebenarnya bertujuan nak porak-perandakan keamanan yang kita nikmati di Malaysia.

"Kita tidak tahu mereka ini sebenarnya mungkin mempunyai agenda politik, sengaja mencetuskan (perbalahan) di pihak kita atau langsung tiada sifat sayangkan keamanan," katanya.

Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang bertujuan membanteras kegiatan keganasan di negara ini diluluskandi Dewan Rakyat April lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS