Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung: Ahli Umno perlu tumpu kukuh parti
Diterbitkan:  Aug 3, 2015 3:42 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Ahli Umno tidak perlu mempertikaikan isu rombakan kabinet yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya menumpukan usaha mereka memperkukuhkan parti, kata ahli Majlis Tertinggi parti itu Datuk Bung Moktar Radin.

Beliau berkata ahli parti perlu memikirkan cara yang lebih proaktif untuk menggerakkan parti agar tetap kukuh daripada terus mempersoalkan isu berkenaan.

"Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan Umno telah melalui krisis seumpama ini beberapa kali tetapi kita masih berjaya dalam perjuangan Umno sehingga kini kerana keyakinan tinggi terhadap perjuangan parti,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas majlis perasmian persidangan perwakilan Pemuda Umno bahagian Kinabatangan di Sandakan petang semalam.

Ketua Umno bahagian Kinabatangan itu berkata perjuangan parti tidak boleh terhenti walaupun pemimpin bertukar ganti dan ia harus diteruskan.

"Ahli parti perlu bekerja keras menggerakkan dan memperkukuhkan benteng parti demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pucuk kepimpinan parti,” katanya.

Menurutnya apa yang penting adalah memperkukuhkan jentera Umno bagi mempertahankan kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Bung Moktar yang juga ahli Parlimen Kinabatangan berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat perdana menteri dalam rombakan kabinet baru-baru ini.

"Saya juga menghormati pendirian Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Naib Presiden Umno (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) yang telah menyatakan sokongan mereka untuk terus berkhidmat dan membantu Umno memenangi pilihan raya umum ke-14 walaupun tiada sebarang jawatan dalam kerajaan,” katanya.

 

Katanya pemimpin di peringkat bahagian, ahli Umno dan tiga sayap parti tidak perlu bimbang dengan kedua-dua pemimpin tertinggi Umno itu kerana mereka tetap bersama dalam parti dan menunaikan tanggungjawab selaku timbalan presiden serta naib presiden.

- Bernama

Lihat Komen
ADS