Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan ‎penjelasan isu 1MDB sukar dibuat berikutan siasatan masih berjalan.

Katanya, semua pihak perlu menunggu siasatan jabatan audit negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selesai sebelum sebarang penjelasan lanjut dibuat.

"Kita dah buat penjelasan setakat mana yang mampu tetapi apa yang kita tunggu sekarang ini adalah hasil siasatan tersebut.

"Setelah hasil siasatan itu dikemukakan kepada orang ramai, barulah kita dapat gambaran lebih jelas dan kita boleh mengesahkan apa sahaja yang telah disiasat itu betul," katanya kepada media di Majlis Pelancaran Ski Malaysia di Wisma OCM, di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Khairy, sebelum proses siasatan itu dapat ditamatkan agak sukar dibuat sebarang komen.

"Justeru saya dan barisan exco kepimpinan pemuda Umno mengambil sikap bahawa siasatan itu harus diteruskan dan percepatkan.

"‎Sebarang penjelasan kepada peringkat akar umbi harus dibuat dengan menyeluruh apabila kita mendapat kepastian daripada siasatan tersebut," katanya.

'Keluar Umno urusan peribadi mereka'

Diminta mengulas mengenai beberapa anggota jawatankuasa Pemuda Umno Johor yang keluar parti, menteri belia dan sukan itu berkata, perkara itu adalah keputusan peribadi mereka.

"Tak apalah itu keputusan‎ peribadi mereka. Malah dulu pun bukan setakat jawatankuasa pemuda tapi bekas presiden parti pun telah keluar parti," katanya.

‎Sementara itu, Khairy menjelaskan beliau akur dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membentuk kabinet baru selepas melakukan beberapa pengguguran termasuk timbalan perdana menteri.

"Kerana ini adalah hak mutlak perdana menteri untuk tentukan barisan jemaah menteri dan harapan kita agar barisan kabinet dapat jalankan tugas dan amanah dengan baik untuk buktikan kepada rakyat bahawa kita (kerajaan) dapat menunaikan segala program dan janji yang telah dibuat.

"Jadi kita kena lihat positif dan lihat ke depan bahawa rombakan kabinet mestilah membawa satu perkembangan positif kepada kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS