Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafie tetap setia bersama Umno
Diterbitkan:  Aug 3, 2015 6:16 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan tetap setia bersama parti keramat itu walaupun digugurkan daripada kabinet, Selasa lepas.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet, katanya, beliau akan terus menjalankan tanggungjawab demi parti, rakyat dan negara.

 

"Banyak fitnah disebarkan selepas saya digugurkan sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, sampai ada mengatakan saya akan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno). Ia adalah fitnah yang tidak berasas kerana saya akan tetap berdiri teguh dan setia bersama Umno.

"Saya merupakan salah seorang pengasas Umno di Sabah dan saya meminta semua anggota Umno terus menyokong parti keramat ini. Oleh itu kita perlu sama-sama bersatu untuk memperkasakan Umno," katanya.

Beliau berkata demikian kepada lebih 20,000 orang yang menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di perkarangan kediamannya di Semporna hari ini.

Mohd Shafie, yang juga ketua Umno bahagian Semporna, berkata beliau akan terus memberi tumpuan kepada jawatannya dalam parti serta berjuang memperkasakan parti itu.

"Bukan pangkat atau jawatan yang diutamakan, tetapi sebaliknya perkhidmatan kepada rakyat yang kita perlu utamakan.

"Pengguguran daripada kabinet tidak menghilangkan fokus saya untuk terus berkhidmat dan bersuara untuk seluruh rakyat di negara ini," kata Mohd Shafie.

Pada masa sama, beliau yang juga pengerusi biro keahlian baru dan daftar pemilih Umno meminta semua anggota parti mendaulatkan parti dengan menghormati pucuk pimpinan.

Selain itu, beliau meminta semua anggota Umno terus bersatu padu dan jangan melakukan sebarang tindakan yang boleh merosakkan parti.

Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata sokongan padu rakyat khususnya di Sabah memberi perangsang dan semangat untuk terus berjuang membela nasib rakyat.

Di \majlis itu, ribuan penyokong datang dari beberapa daerah di Sabah termasuk para penyokongnya daripada Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM Malaysia) yang mula berkumpul di perkarangan kediamannya seawal pukul 8 pagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony, ADUN Senallang, Datuk Seri Nasir Sakaran dan ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong.

- Bernama

Lihat Komen
ADS