Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hari demi hari hubungan PAS dan Gerakan Harapan Baru (GHB) semakin tegang, sehingga membawa kepada pemutusan hubungan di peringkat parlimen seperti di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, bagi GBH, kumpulan yang digerakkan pemimpin PAS yang kalah pemilihan, ia tidak sedikit pun menggugat usaha mereka bagi menubuhkan parti Islam baru.

"Kami sedikit pun tidak rasa tergugat.

“Kami tidak rasa tindakan PAS itu tindakan yang mengikat kami kerana kami tahu daripada peruntukan undang-undang dan hak kami,” kata seorang penggeraknya Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut perkara itu, Dzulkefly berkata terserah pada “niat kejujuran dan kematangan” dan kematangan anggota PAS sendiri.

"Namun persoalannya adakah kami rasa tergugat dan terancam, kami tidak sedikit pun tergugat kerana pada akhirnya kita sendiri akan berdepan dengan lawan iaitu Umno, BN,” katanya.

Beliau diminta mengulas reaksi PAS kawasan itu yang memutuskan memutuskan hubungan dengan anggota parlimen kawasan itu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menyertai GBH.

Suhaizan mahu berbaik-baik

Langkah terbaru PAS Terengganu itu secara tidak langsung menggambarkan kemungkinan parti itu akan semakin keras terhadap GBH, yang dilihat berpotensi besar mencuri anggota mereka.

Julai lalu PAS Selangor sudah menyiapkan pemangku bagi jawatan yang disandang oleh kumpulan progresif dalam PAS yang menubuhkan GHB di negeri itu.

Malah, arahan untuk mengisi kekosongan itu telah dikeluarkan dan juga sudah ada pengganti bagi jawatan tersebut.

Sementara itu, bekas ketua Pemuda PAS yang turut menyertai GHB Suhaizan Kaiat pula tetap mahu menjaga hubungan baik dengan PAS.

"Kita tetap menjaga hubungan baik dengan PAS walau apa langkah yang diambil mereka kerana niat asal sebenar untuk melawan Umno " katanya.

GBH yang diketuai bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu masih dalam siri jelajah untuk membuat penjelasan berhubung kumpulan itu.

Mereka juga sedang merangka penubuhan sebuah parti Islam baru dan seterusnya gabungan baru pembangkang selepas Pakatan Rakyat diisytiharkan tidak lagi wujud.

Lihat Komen
ADS