Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mier: Beri masa pada kabinet baru
Diterbitkan:  Aug 4, 2015 6:48 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap agar rakyat memberi masa kepada barisan kabinet baru untuk mengembalikan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

Pengarah Eksekutifnya Dr Zakariah Abdul Rashid berkata bagi tempoh tiga bulan pertama, rakyat harus memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan ke arah mewujudkan persekitaran politik yang stabil.

"Tentunya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), semasa merangka kabinet baru ini, beliau mempunyai keyakinan bahawa ia akan memberi penyelesaian kepada politik dan pentadbiran negara.

"Sama ada apa yang dilakukan oleh beliau ini berjaya ataupun tidak, kita harus tunggu dan lihat penerimaan orang ramai terhadap perkara ini, termasuk pelabur dan sektor swasta," katanya kepada pemberita pada Taklimat Ekonomi Kebangsaan Ke-13, di ibunegara hari ini.

Zakariah berkata dalam tempoh jangka pendek reaksi penerimaan boleh dilihat daripada prestasi semasa pasaran saham.

Manakala bagi tempoh jangka panjang kita perlu melihat kepada reaksi Pelaburan Langsung Asing (FDI) kerana para pelabur sedang menilai sama ada kabinet baru ini boleh melaksanakan tugas atau tidak, katanya.

Menurutnya lagi, para pelabur juga akan menilai sama ada kabinet baru ini mampu untuk melaksanakan rancangan ekonomi atau mempunyai rancangan ekonomi yang baru untuk mengembalikan keyakinan para pelabur.

Apabila kestabilan politik dapat dicapai, beliau menjangkakan barisan kabinet akan mula menumpukan kepada aspek pembangunan dan ekonomi negara dan keyakinan pelabur akan dapat dikembalikan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS