Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penceramah didakwa sokong perbuatan pengganas
Diterbitkan:  Aug 5, 2015 8:15 AM
Dikemaskini: 1:30 AM

Seorang penceramah bebas yang didakwa merupakan suspek utama merekrut rakyat Malaysia untuk perbuatan pengganas di Syria, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang semalam.

Mengikut pertuduhan, Zulqarnian Ghaz Ab Ghani, 31 didakwa memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan senjata api dengan niat untuk meneruskan perjuangan agama bagi menggugut orang awam di sana.

Zulqarnian yang direman sejak 28 hari lalu didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 April 2014 dan 28 Ogos 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membolehkan hukum penjara seumur hidup atau sehingga 30 tahun atau denda dan rampasan harta yang digunakan bagi tujuan tersebut jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin telah memohon satu tarikh sebutan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Hazrin Alif Wahab.

Zulqarnian yang ditangkap pada 7 Julai lepas di Wangsa Maju kelihatan tenang di kandang tertuduh dan tersenyum sambil memandang ke arah anggota keluarganya yang turut hadir di mahkamah.

Majistret Zulyana Zolkapli menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes.

Tiada pengakuan direkod dari tertuduh kerana ia merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS