Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Lebih elok rakyat tahu siapa penderma
Diterbitkan:  Aug 5, 2015 10:00 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

PAS berkata adalah lebih elok kalau rakyat tahu siapa penderma RM2.6 bilion bagi mengelak tuduhan dan kecurigaan apakah perdana menteri bekerja untuk penderma berkenaan atau untuk rakyat.

"Pendedahan ini juga akan membantu LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) membuat kunjungan kepada dermawan tersebut," kata timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, walaupun pengarah Pengarah komunikasi strategiknya Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi penjelasan kepada soalan "remeh-temeh" darinya, tetapi ia bukanlah bermakna isu itu telah selesai.

"Masih banyak lagi soalan remeh-temeh yang perlu dijawab," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Antaranya, kata beliau, ialah apakah wajar bagi perdana menteri menggunakan akaun peribadi bagi menerima dana sebesar RM2.6 bilion itu, sedangkan ia boleh mengundang pelbagai prasangka buruk terhadapnya.

"Berapakah jumlah yang dibelanja oleh Umno-BN bagi menghadapi PRU13 lalu? Apakah ia melepasi had yang ditentukan oleh Akta Pilihanraya?

"Jika ya, bukankah keputusan PRU13 yang lalu menjadi tidak sah?" tambahnya.

Katanya lagi, jika dana itu tidak habis digunakan untuk PRU13 yang lalu dan bukan untuk kegunaan peribadi, berapakah baki duit derma yang masih berada dalam akaun itu ketika ia ditutup?

"Ke mana perginya baki itu? Apakah penyaluran dana sebenar ini ke akaun PM ini tidak tertakluk di bawah Akta Kewangan dan tidak terbau hidung LHDN untuk dikejar cukainya?

"Saya percaya soalan-soalan yang dikemukakan hari ini juga sangat-sangat ditunggu jawapannya oleh rakyat marhaen, namun mungkin dipandang remeh-temeh kepada mereka yang berniat cuba menutup sesuatu daripada pandangan rakyat.

"Sebagai seorang penerima gaji dari rakyat jelata, eloklah Abdul Rahman mengingati siapa bosnya yang sebenar," tambahnya.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berterima kasih atas jawapaan Abdul Rahman terhadap soalan 'remeh' yang beliau kemukakan.

"Sekurang-kurangnya ada maklum balas. Perdana menteri masih berdiam diri meskipun rakyat sudah menanti lebih sebulan sehingga Tun Mahathir Mohamad pun naik angin.

"Padahal bukan payah sangat untuk perdana menteri menjelaskan bahawa: "Ini sumbangan derma dari penderma perihatin." Peliknya mengapa PM tidak menjawab sedemikian ketika WSJ melakukan tuduhan ke atasnya.

"Mengapa perdana menteri menjawab ‘Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri’ dan bukannya terus menempelak WSJ dan berkata duit itu duit derma?

"Setelah sebulan, akhirnya yang membuat kenyataan itu ialah SPRM," tegas Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau bertanya apakah kini perdana menteri yakin rakyat akan percaya wang RM2.6 bilion itu adalah dari sumbangan derma hanya kerana SPRM mengumumkan sedemikian.

"Rakyat nak tahu ke mana hutang RM42 bilion yang kini menjadi liabiliti kepada 1MDB dibelanjakan," tambahnya

Lihat Komen
ADS