Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan lupa demo kebebasan media Sabtu ini'
Diterbitkan:  Aug 5, 2015 11:48 AM
Dikemaskini: 5:05 AM

Gabungan Demi Kebebasan Media (CPF) mengajak orang ramai menyertai mereka berjalan dari Pasar Seni ke bangunan Majlis Peguam Malaysia pada Sabtu ini sebagai sebahagian daripada langkah menuntut penggantungan permit ke atas The Edge Financial Daily dan The Edge Financial Weekly ditarik balik serta-merta.

Ia juga manifestasi menuntut pihak berkuasa menamatkan sekatan akses terhadap laman web Sarawak Repor t.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini CPF berkata semua lapisan masyarakat perlu menyertai mereka melaksanakan hak demokrasi untuk berhimpun secara aman.

Menurut kenyataan itu, seminggu selepas Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan terhadap dua penerbitan itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta beberapa menterinya mencadangkan sekatan lebih ketat dikenakan terhadap Internet - terutama media sosial.

"CPF ingin menegaskan Internet adalah medium sangat penting dalam sesebuah demokrasi yang berkembang - sama ada bagi pihak kerajaan, organisasi berita, penulis bebas atau rakyat secara am.

"CPF amat prihatin dengan tindakan kerajaan untuk 'memperbetul' atau 'memperbaharui' undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia serta peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," kata CPF.

Gabungan itu berpendapat, ada banyak cara lain bagi mempertikai atau memperbetulkan laporan yang tidak tepat.

Boleh cabar, pertikai

Kata CPF, memang tidak menjadi kesalahan untuk pihak berkuasa menyiasat, menafikan -  atau sekiranya perlu, mengambil tindakan undang-undang - terhadap kumpulan atau individu yang sengaja menyebarkan maklumat palsu, menghasut tindakan kekerasan atau memupuk kebencian terhadap pihak lain.

"Perdana menteri sendiri pernah memetik contoh kejadian beliau menuntut seorang ahli parlimen pembangkang memohon maaf serta menarik balik kenyataan palsu yang disebarkan melalui media sosial.

"Ini jelas membuktikan, adalah sangat berkemungkinan untuk mencabar, memperbetul serta mempertikai mana-mana pihak yang terbukti sengaja menyebarkan maklumat palsu, atau telah melakukan kesilapan.

"Kami mengambil maklum bahawa bukan sahaja media di Malaysia, tetapi juga terdapat penulis bebas yang sebelum ini pernah dituntut agar memohon maaf serta menarik balik kenyataan yang telah terbukti keliru," kata CPF.

Pada masa sama pertubuhan itu bersetuju dengan pendirian bahawa rakyat juga seharusnya dibiarkan menilai maklumat yang diterima secara adil.

Justeru, CPF berkata, ia merupakan asas tuntutan mereka untuk kerajaan membuka akses maklumat antara pihak kerajaan, organisasi dan rakyat.

Minta dedah draf pindaan

"Jika rakyat tidak dipaksa hidup dalam ketakutan untuk menyuarakan pendapat, dan jika pihak berkuasa lebih telus menjalankan tugas, kita semua akan bergerak ke arah pembentukan masyarakat yang bersikap terbuka terhadap perbahasan terbuka, terhormat dan membangun," katanya.

Perdana menteri, kata CPF, turut bercakap tentang defisit kepercayaan dan keperluan bagi memenangi semula keyakinan rakyat.

"CPF agak teruja dengan kepimpinan beliau dalam aspek ini tetapi pada masa sama mencadangkan, perlindungan hak serta kebebasan adalah perkara penting dalam usaha kerajaan memupuk keyakinan rakyat,"katanya.

Sementara itu, CPF meminta kerajaan mendedahkan draf dan cadangan pindaan undang-undang berkaitan Internet yang dikatakan sudah disediakan.

Kata CPF, jalan ke arah meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran serta mengukuhkan institusi demokrasi boleh bermula di situ.

"Dedahkan draf ini kepada umum, adakan dialog dengan hati terbuka serta kesediaan untuk menerima cadangan dari rakyat.

"Dengan cara ini, tiada lagi ruang bagi mana-mana pihak menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ ke atas kerajaan sebelum diadakan ‘perbicaraan’.

"Jika terdapat sekatan berlanjutan terhadap akses kepada media, maka kita semua perlu menyatakan pendirian kita di #AtTheEdge," kata CPF.

CPF adalah gabungan longgar kumpulan pengamal media yang terdiri daripada Gerakan Media Marah (Geramm), Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM), Center for Independent Journalism (CIJ) dan Reporters San Frontieres (RSF).

Lihat Komen
ADS