Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jika semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi tempoh tujuh hari untuk mendedahkan identiti penderma RM2.6 bilion ke akaun perdana menteri, hari ini tuan punya badan pula digesa berbuat demikian,

Gesaan terhadap Datuk Seri Najib Razak itu dinyatakan dalam memorandum kumpulan pemuda Gerakan Harapan Baru (GHB) kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya hari ini.

"Seluruh rakyat Malaysia tertanya-tanya siapa batang tubuh yang bermurah hati itu.

“Dan tidak kurang juga ada yang termimpi-mimpi untuk memperoleh jumlah derma sebanyak itu ketika dihimpit kenaikan kos sara hidup," kata Naib Penyelaras 1 Anak Muda GBH Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Fakhrulrazi percaya beban dipikul Najib akan lebih ringan jika perkara itu didedahkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kumpulan itu semalam membuat laporan berkaitan isu itu kepada SPRM dan memberi masa tujuh hari kepada badan itu untuk mendedahkan siapa penderma itu.

Mereka juga mendesak individu itu tampil ke hadapan memperkenalkan dirinya bagi merungkai segala persoalan.

Tegas Mohd Fakhrulrazi lagi semua persoalan ini perlu dijawab kerana tuduhannya berat.

Ini kerana, menurutnya, menjadi  kesalahan bagi penjawat awam menerima 'derma' untuk tujuan tertentu apatah lagi seorang perdana menteri.

"Ini bukan isu yang kecil tetapi besar yang melibatkan integriti negara serta melibatkan keselamatan negara kerana jumlahnya sangat besar.

"Duit yang datang dari dalam negara perlu dijelaskan dari mana puncanya apatah lagi jika dari luar kerana ia melibatkan banyak agensi," katanya.

Sementara itu, Naib Penyalaras II Anak Muda GBH Shazni Munir mencabar Najib untuk berhadapan dengan rakyat jika benar beliau tidak bersalah.

“Kita mahu perdana menteri berhadapan dengan rakyat untuk jelaskan secara terbuka jika sebelum ini beliau begitu mudah menerima sumbangan atau derma sebegitu banyak tanpa sebarang rasa bersalah kepada rakyat," katanya kepada wartawan selepas menyerahkan memorandum kepada Penolong Setiausaha Pejabat Perdana Menteri Megat Shah Namirul.

Katanya lagi tuntutan ini perlu diambil serius oleh perdana menteri bagi menghentikan tohmahan yang kini menjadi jenaka kepada rakyat.

"Jenaka ini rentetan daripada hasil kepenatan atau kebosanan rakyat terhadap isu yang tidak terjawab,"ujarnya.

Kumpulan GBH digerakkan oleh bekas pemimpin kanan PAS yang tewas dalam pemilihan parti itu sebelum ini. Dipimpin bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, GBH merancang menubuhkan sebuah parti Islam baru serta merintis gabungan pembangkang “Pakatan Rakyat 2.0”.

Ia dilihat penganalisis politik sebagai cuba menggantikan peranan PAS dalam gabungan pembangkang bersama PKR dan DAP.

Lihat Komen
ADS