Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis masih runding bebaskan dua mangsa culik
Diterbitkan:  Aug 5, 2015 6:22 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya masih berunding dengan kumpulan penculik bagi pembebasan tanpa bayaran dua rakyat negara ini yang diculik kumpulan itu pada 14 Mei lalu di Restoran Ocean King, Jalan Batu Sapi, Sandakan.

"Kita masih berbincang secara baik dan terperinci. Keluarga mangsa tidak berkemampuan untuk membayar sejumlah wang yang diminta kumpulan penculik ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Jalaluddin berkata, kumpulan penculik itu pada awalnya telah meminta wang tebusan RM60 juta sebagai pertukaran kedua-dua mangsa culik namun selepas beberapa kali rundingan dijalankan jumlah sebenar wang tebusan itu dapat dikurangkan sehingga lebih 50 peratus.

"Bagi saya ini tidak adil dan kumpulan penculik ini perlu ada sifat perikemanusiaan. Pihak kita juga tidak sewenang-wenangnya membenarkan perkara sedemikian berlaku," katanya lagi.

Beliau berkata, kedua-dua tebusan yang diculik kumpulan penceroboh itu berada dalam keadaan selamat dan berdasarkan panggilan telefon kepada keluarga, mangsa dipercayai berada di pedalaman selatan Filipina, bersempadan dengan Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Filipina turut bekerjasama membantu Malaysia untuk membantu serta mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap kes penculikan itu.

"Kita minta kerjasama pihak Filipina untuk kenal pasti kumpulan penculik ini dan menyerahkan (mangsa culik) secara profesional," katanya lagi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS