Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada undang-undang khas dedah penderma dana

Tidak ada undang-undang khusus yang membolehkan mana-mana pihak untuk mendedahkah pihak penderma yang didakwa menyumbang RM2.6 bilion ke dalam akaun milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata oleh kerana itu SPRM tidak dapat mendedahkan butiran terperinci penyumbang dana politik itu.

"Kalau undang-undang khusus ke atas sumbangan politik memang kita tidak ada. Kalau kita tengok NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) (mengenai) rasuah, salah satu inisiatif yang hendak dilaksanakan ialah untuk mewujudkan undang-undang dana politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Syarahan Makan Tengah Hari dan Sambutan Aidilfitri bersama sektor swasta dan pesara SPRM di Kompleks SPRM Kelantan di Kota Baharu, semalam ketika ditanya adakah wujud undang-undang yang membolehkan SPRM mendedahkan pihak penderma yang didakwa menderma RM2.6 bilion ke dalam akaun milik Perdana Menteri.

Shamshun Baharin berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan pada 2008 supaya satu undang-undang khusus itu diwujudkan bagi membolehkan semua parti politik mengisytiharkan sumber kewangan yang diperoleh daripada mana-mana pihak yang sehingga kini belum terlaksana.

Beliau berkata melalui undang-undang yang dicadangkan itu sebarang dana politik yang disumbangkan kepada mana-mana parti politik perlu diisytiharkan kepada umum.

Katanya dana politik melibatkan semua parti cuma pihaknya tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk menyiasat, untuk mengambil tindakan dan untuk mendedahkannya kepada umum.

"Sebagai contoh, di Indonesia, mereka mempunyai akta ini, bukan setakat dana politik, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang menerima sumbangan daripada mana-mana individu perlu diisytiharkan dalam tempoh sebulan," katanya sambil menambah peruntukan undang-undang itu perlu diwujudkan segera bagi mengelakkan timbulnya pelbagai persepsi.

SPRM sebelum ini mengesahkan dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma bukannya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

- Bernama

Lihat Komen
ADS