Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Siasat segera, SPRM bukan bawah telunjuk Azmin'
Diterbitkan:  Aug 24, 2015 5:40 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

MP PAS Datuk Mahfuz Omar berkata pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa segera menyiasat cadangan penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) jika terdapat jenayah penyelewengan dan pecah amanah.

Katanya, badan penyiasat termasuk Bank Negara, PDRM dan Audit Negara juga tidak perlu takut menyiasat agensi pelaburan itu kerana Menteri Besar Selangor Azmin Ali tiada kuasa untuk menukar pegawai seperti mana berlaku dalam kes SPRM dan 1MDB.

"Agensi penyiasat bukan berada bawah telunjuk Azmin. Sebaliknya agensi penyiasat berada bawah perdana menteri dan kerajaan persekutuan. Sila siasat segera jika terdapat keraguan seperti apa yang berlaku pada 1MDB.

"Jadi agensi siasatan jangan lagi berlengah untuk menyiasat sama ada wujud unsur pecah amanah atau tidak, bila Menteri Besar Azmin telah memberi laluan untuk siasatan.

"Jika agensi penyiasatan menganggap tiada apa yang perlu disiasat kerana belum ada lagi aset yang diuruskan oleh DEIG," kata Mahfuz dalam satu kenyataan.

Bekas anggota jawatankuasa PAS pusat itu mengalu-alukan kesediaan Azmin membenarkan DEIG disiasat oleh pihak berkuasa.

Kelmarin Azmin menyindir Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mempertikaikan DEIG dengan menyifatkan isu itu lebih besar berbanding derma bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan presiden PKR itu mempertahankan bahawa agensi itu tidak boleh disamakan dengan firma pelaburan 1MDB dan DEIG adalah agensi kerajaan negeri yang memiliki dana sebanyak RM30 bilion dan akan digunakan untuk pelaburan.

Mahfuz turut membidas pemimpin Umno yang tidak dapat membezakan antara isu 1MDB dengan DEIG.

"Yang jelas 1MDB dan Najib sudah ada kes, bila nak dakwa. AG (peguam negara)! tolong jawab segera," kata Mahfuz yang juga yang dipertua PAS Pokok Sena.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin turut membidas Abdul Rahman yang dianggap cuba meremehkan isu 1MDB dengan mempersoalkan DEIG.

Zuraida yang juga MP Ampang berkata tidak wajar perkara itu dikritik oleh Abdul Rahman yang juga menteri kabinet.

"DEIG belum mula beroperasi, tidak mempunyai aset atau kumpulan wang, malahan tiada satu transaksi dijalankan, melainkan jika ada akaun rahsia sahaja yang boleh menyalurkan berbilion ringgit kepada menteri besar," katanya.

Tambahan pula, kata Zuraida, ahli lembaga DEIG terdiri daripada setiausaha kerajaan negeri, ketua pegawai eksekutif MBI, ketua pegawai operasi MBI dan profesional yang pakar dalam pelaburan bawah seliaan MB dan tertakluk kepada Akta Syarikat 1965.

Lihat Komen
ADS