Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi video perwakilan Umno gesa Najib undur
Diterbitkan:  Aug 24, 2015 7:19 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Selepas seorang perwakilan Umno bahagian Langkawi menghentam presidennya, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, tersebar pula satu video perwakilan dari Kedah melakukan perkara sama.

Kali ini video yang dimuat naik di laman sosial sejak semalam itu menunjukkan sesi perbahasan di mesyuarat agung Umno bahagian Merbok.

Dalam video tersebut, perwakilan yang dikenali sebagai Abd Karim Ali, meminta supaya Najib meletak jawatan sebagai presiden parti dan perdana menteri.

"Dengan realiti politik hari ini kita mencadangkan dan memohon secara terhormat supaya presiden kita (Datuk Seri Najib) mengundur diri sebagai presiden Umno dan perdana menteri demi memulihkan Umno dan mengembalikan keyakinan rakyat," kata beliau.

Video selama lapan minit 24 saat itu memperlihatkan Abd Karim bercakap selama 30 saat sebelum disusuli dengan seorang lagi perwakilan yang membahaskan mengenai isu cukai jualan dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB.

Usul bahagian sokong Najib

Sementara itu Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zin berkata, beliau menafikan kenyataan Karim itu sebagai usul mesyuarat sepertimana yang dispekulasikan oleh pengguna maya.

Katanya, Karim hanya mengeluarkan kenyataan itu ketika membahaskan usul politik.

"Sebaliknya usul politik kami adalah menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Najib sebagai presiden Umno dan perdana menteri. Usul ini juga diluluskan sebulat suara.

"Hanya dia (Karim) seorang sahaja yang mengeluarkan kenyataan itu," kata Tajul Urus kepada Malaysiakini, hari ini.

Abd Karim merupakan perwakilan Umno cawangan Kuala Sin dan bekas ketua Pemuda Umno bahagian Merbok.

Beliau juga pernah bertanding dan mencabar Khairy Jamaluddin bagi jawatan ketua pemuda Umno ada pemilihan Umno sebelum lalu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada Abd Karim mengenai kenyataan beliau.

Dengan segala hormatnya dipersilakan untuk menonton!

Posted by University of Life on Monday, 24 August 2015

Lihat Komen
ADS