Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti: Ustaz kena kaji juga Che Guevara
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 12:28 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin hari ini menyarankan golongan agama mengkaji tentang sejarah pejuang dan tokoh yang beragama lain agar mempunyai horizon penilaian yang lebih luas.

Berdasarkan sejarah, kata Dr Asri, Nabi Muhammad juga mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa era jahiliah yang membela golongan ditindas.

“Jika pun kita tidak bersetuju, kita wajar juga mengiktiraf kesungguhan dan mempelajari strategi yang telah mereka lalui.

“Bahkan tidaklah salah untuk kita mengiktiraf kebaikan perjuangan mereka dan menyertainya jika ternyata itu satu kebaikan,” kata Dr Asri melalui laman sosial Facebook beliau.

Malah, Dr Asri berkata terlalu ramai pejuang dalam sejarah pembinaan tamadun manusia yang perlu dijadikan teladan.

Asri menyenaraikan nama-nama seperti pejuang legenda kiri Che Guevara, tokoh anti-aparteid Nelson Mandela, tokoh kemerdekaan India Mahatma Gandhi, pejuang kemanusiaan Florence Nightingale dan pejuang kebebasan William Wilberforce.

“Mengiktiraf keperwiraan seseorang pejuang, bukan semestinya kita menyokong ataupun bersetuju dengan semua pegangannya.

“Kita mungkin tidak bersetuju dengan sosialisme Che Guevera, namun kita perlu akur dia pejuang yang handal dan ada nilai-nilai positif yang patut dipuji pada dirinya,” katanya memuji pejuang gerila Cuba itu.

Lihat Komen
ADS