Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sekolah di PP dibenar sertai sambutan Hari Kebangsaan
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 3:12 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Jabatan Pendidikan Pulau Pinang menarik semula surat pekeliling melarang semua sekolah di negeri ini menyertai sambutan dan perarakan Hari Kebangsaan 2015 anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pengarahnya Datuk Osman Hussain berkata penarikan semula surat pekeliling itu dibuat selepas kerajaan negeri mengumumkan penarikan tema 'Bersih, Cekap, Amanah' dan menggunakan tema yang sama dengan kerajaan persekutuan, 'Sehati Sejiwa'.

Justeru, beliau berkata pihaknya mengeluarkan surat kebenaran kepada semua sekolah di negeri ini pada Selasa lepas (25 Ogos) membenarkan mereka menyertai sambutan dan perarakan anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Selepas kerajaan negeri umum tukar tema pada Isnin lepas (24 Ogos), kami pun terus beri kebenaran. Kami meminta kebenaran daripada kementerian dan kementerian membenarkan kita untuk menyertai sambutan dan perarakan anjuran kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Kemerdekaan 2015 dan majlis perasmian Kidland Pulau Pinang di George Town hari ini.

Beliau berkata sebanyak 28 sekolah di negeri ini akan menyertai perarakan Hari Kebangsaan 2015 anjuran kerajaan negeri.

Osman berkata satu taklimat bersama pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan sekolah-sekolah yang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan Isnin ini akan diadakan petang ini.

Isnin lepas, kerajaan Pulau Pinang menarik balik tema 'Bersih, Cekap, Amanah' untuk sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri berikutan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Jun lepas memilih 'Sehati Sejiwa' sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan 2015 tahun ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS