Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibrahim bimbang peserta pro, anti-BERSIH tembung

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali bimbang berlaku pertembungan antara kumpulan pro-BERSIH dan kumpulan anti-BERSIH dalam demostrasi hujung minggu ini yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Polis tidak izinkan BERSIH 4 dilakukan dan muncul pula kumpulan baju merah anti-BERSIH. Ini boleh menggugat keselamatan negara dan boleh di luar kawalan.

"Saya risau ada pertembungan nanti. Ada yang nak berparang dan yang BERSIH pula tak dapat kebenaran polis. Macam-macam boleh jadi nanti"

"Saya bimbang berlaku kekecohan dan kemudaratan nanti,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA petang ini.

Bagaimanapun lewat petang ini, kumpulan anti-Bersih membatalkan hasrat mereka untuk berhimpun selepas mendengar taklimat polis. NGO Suara Bumiputera turut mengambil langkah yang sama bagi mengelak pertembungan.

Susulan keputusan itu, kemungkinan tidak berlaku pertembungan apabila hanya BERSIH 4 sahaja yang masih mahu meneruskan perhimpunan.

Ibrahim menjawab soalan berhubung kumpulan anti-BERSIH mengancam akan turun ke jalan raya jika peserta BERSIH tidak mengikut undang-undang pada himpunan 29 dan 30 Ogos ini di Kuala Lumpur termasuk kini berlatih menggunakan pedang dan parang.

Bagaimanapun pemimpinnya Datuk Jamal Md Yunos menafikan mahu berdepan dengan BERSIH dengan parang sebaliknya hanya latihan. Demonstrasi hujung minggu ini juga tidak mendapat kebenaran polis.

Mengulangi pendirian membenarkan anggota PERKASA turut serta dalam perhimpunan itu, atas dasar demokrasi, namun Ibrahim meminta supaya penganjur BERSIH 4 memberi jaminan keselamatan kepada peserta khususnya pada hari himpunan.

"PERKASA ingin mendesak pihak penganjur BERSIH jika mereka mengatakan akan terus melakukan perhimpunan itu ia harus benar-benar menjamin keselamatan dan tidak memudaratkan harta benda awam.

"Saya takut ada pihak ambil kesempatan, yang rugi rakyat dan negara, pihak penganjur harus bertanggungjawab apa yang terjadi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya perhimpunan itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara, lebih baik bagi ahli PERKASA tidak turun ke jalan raya.

"Saya memang tak halang ahli PERKASA nak turun BERSIH, tapi kalau mudarat dan bahaya lebih baik jangan turun, saya tak galakkan," katanya.

Sementara itu Ibrahim berkata masyarakat dan kumpulan mahasiswa perlu lebih bijak dan matang menyatakan perasaan dan tidak hanya tertumpu dalam siri tunjuk perasaan.

Sekiranya pada 1970 terdapat penggunaan internet, beliau yang pernah ditahan ISA berkata, beliau tidak akan turun demonstrasi ke jalan raya.

“Dulu saya berdemo sebab tidak ada internet dan suara ini tak sampai kepada kerajaan dan rakyat tak tahu apa isu yang diperjuangkan.

"Sekarang kalau nak bersara dalam tandas pun boleh Whatapps saja,” katanya.

Lihat Komen
ADS