Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Turun GST, jangan naik kadar faedah
Diterbitkan:  Aug 28, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

PKR mencadangkan agar kerajaan menurunkan kadar GST buat sementara waktu bagi membendung peningkatan inflasi akibat kejatuhan nilai Ringgit.

Biro pelaburan dan perdagangan parti itu turut mencadangkan agar kerajaan tidak menaikkan kadar faedah sebagai langkah mudah untuk membendung inflasi.

“(Peningkatan kadar faedah) hanya akan mengekang pengembangan aktiviti ekonomi domestik.

“Kebimbangan terbesar kita akibat penyusutan nilai ringgit adalah pertambahan kadar inflasi akibat import yang bertambah mahal.

“Ini akan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup untuk rakyat yang masih lagi menanggung beban GST,” kata pemimpin biro berkenaan, Wong Chen dan Fahmi Ngah dalam kenyataannya.

Mereka menegaskan bahawa cadangan itu hanyalah langkah sementara kerana PKR tetap berpendirian bahawa cukai itu perlu dimansuhkan.

"Kami ingin mencadangkan langkah yang lebih mudah, iaitu menurunkan kadar GST kepada 4 peratus atau lebih rendah sebagai langkah sementara untuk membendung inflasi dan membantu komuniti perniagaan.

"PKR komited dengan penghapusan GST sepenuhnya, tetapi dalam keadaan krisis ini, cadangan ini hanyalah sebagai suatu penyelesaian sementara yang praktikal," kenyataan itu dipetik.

Tidak dorong eksport, pelancongan

Mereka menyarankan demikian memandangkan kejatuhan nilai ringgit tidak mendorong eksport atau pelancongan – seperti yang didakwa kerajaan sebelum ini.

"Jumlah pelancong asing juga tidak memuaskan. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 adalah 609 ribu orang lebih rendah daripada suku pertama 2014 walaupun ringgit 10 peratus lebih rendah pada suku pertama 2015 berbanding suku pertama 2014.

"Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 seramai 6.48 juta juga adalah hampir sama dengan suku pertama 2013 seramai 6.45 juta walaupun ringgit 17 lebih rendah berbanding suku pertama 2013."

Data tersebut bagi menjawab kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz awal bulan ini yang yakin dengan kehadiran 29.4 juta pelancong tahun ini.

Mereka seterusnya membangkitkan bahawa nilai eksport negara tidak menunjukkan peningkatan yang bermakna apabila nilai ringgit menyusut.

"Untuk tempoh separuh pertama 2015, jumlah eksport negara hanyalah RM368 billion, iaitu RM12 billion lebih rendah daripada tempoh yang sama 2014 (RM 380 billion).

“Ini berlaku walaupun ringgit bernilai 11 peratus lebih rendah pada separuh pertama 2015 berbanding separuh pertama 2014. Penemuan ini amat membimbangkan kerana bertentangan dengan tahun sebelumnya.

“Ringgit yang 6 peratus lebih rendah pada separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013 telah menghasilkan pertambahan nilai eksport RM42 billion untuk separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013."

Lihat Komen
ADS