Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan media kecam ancaman sekat Internet
Diterbitkan:  Aug 28, 2015 1:41 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Kumpulan media mengecam keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akses ke laman web yang mempromosi BERSIH 4.

Gerakan Media Marah (GERAMM), perkumpulan longgar wartawan dan aktivis prokebebasan media, juga menolak alasan “mengancam kestabilan negara” yang dikemukakan.

“Akan tetapi GERAMM melihat langkah terbaru ini sekadar satu lagi usaha kerajaan mengekang hak rakyat untuk bersuara dan mendapatkan maklumat,” katanya.

SKMM semalam memutuskan untuk menyekat laman web yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai BERSIH 4.

SKMM mendakwa perhimpunan itu boleh menggugat kestabilan negara, dengan memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

BERSIH 4 akan berlangsung di tiga kota besar – Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching – selama 34 jam bermula petang esok.

Ia berlangsung ketika berlaku krisis kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kemerosotan nilai ringgit terburuk dalam 17 tahun serta penyusutan tahap rizab negara bawah paras AS$100 bilion

'Jangan sasarkan media'

Sementara itu, menyentuh perhimpunan BERSIH 4 esok, GERAMM mengingatkan semua pihak supaya menghormati kakitangan media yang turun ke lapangan menjalankan tugas.

“GERAMM berharap insiden yang berlaku pada perhimpunan BERSIH sebelumnya tidak akan berulang,” kata kumpulan yang terbentuk pada penghujung 2013 susulan penggantungan akhbar The Heat ketika itu.

“Kepada kakitangan media yang bertugas, GERAMM ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam menjalankan tugas memberi maklumat kepada orang ramai tentang apa yang berlaku, tanpa rasa takut dan pilih kasih.”

Perhimpunan BERSIH sebelum ini menyaksikan sejumlah wartawan daripada beberapa media menjadi sasaran pihak berkuasa dan peserta.

Seorang petugas media sebelum ini tercedera ( gambar ) ketika membuat liputan dan dirawat di hospital.

Kumpulan itu juga berkata petugas media sepatutnya dapat dikenal pasti dengan mudah, memandangkan mereka memakai pas media serta membawa peralatan media seperti kamera.

Lihat Komen
ADS