Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas peguam PAS bantu BERSIH 4
Diterbitkan:  Aug 28, 2015 1:52 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Sekumpulan peguam yang pernah bergiat dalam Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) dalam Pemuda PAS, menubuhkan NGO bagi memantau perhimpunan BERSIH 4 dan membantu memberi khidmat guaman kepada peserta.

Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) Norazmir Zakaria berkata selain itu mereka juga akan memantau lokap atau balai polis bagi tujuan prosiding reman jika berlaku tangkapan.

"ProGuam menyatakan sokongan kepada penganjuran Bersih 4. Sebagai komitmen ProGuam kepada Bersih 4, ProGuam menyediakan 80 orang peguam yang akan berkhidmat sepanjang penganjuran Bersih 4 tersebut," katanya.

Dalam kenyataannya, Norazmir berkata pihaknya juga melancarkan tiga talian bagi membolehkan para peserta Bersih 4 menghubungi sekiranya berlaku tangkapan iaitu 017-394 1559, 017-394 1561 dan 017-303 2591.

Beliau berkata ProGuam turut melancarkan panduan ringkas undang-undang kepada peserta himpunan berkaitan hak-hak peserta jika ditahan polis dan ia akan disebar melalui media sosial termasuk Facebook, Twitter, dan Whatsapp bagi kemudahan orang ramai.

Menjawab kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim bahawa Bersih 4 telah bergiat secara tidak sah, Norazmir berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai 2012 telah mengenepikan pengisytiharan menteri dalam negeri bahawa Bersih adalah pertubuhan haram.

Malah keputusan Mahkamah Tinggi tersebut tidak pun dirayu dan masih kekal hingga kini, katanya lagi

"Justeru, ProGuam menegaskan bahawa kenyataan ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri di atas adalah bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut serta boleh mengundang rasa kebimbangan yang tidak berasas kepada masyarakat.

"ProGuam percaya kenyataan ini lebih kepada ingin menakut-nakutkan rakyat daripada hadir menyertai perhimpunan aman terbabit," katanya sambil menyeru kepada rakyat untuk tidak berasa takut selagimana hak mereka dijamin undang-undang.

Sebaliknya, beliau menyarankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berganding bahu bagi memastikan perjalanan perhimpunan Bersih 4 tersebut berjalan dengan aman dan tanpa sebarang provokasi.

"Secara tidak langsung, ia boleh memartabatkan imej Negara sebagai Negara yang mendaulatkan hak-hak demokrasi dan hak-hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Lihat Komen
ADS