Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebuah NGO memperjuangkan masa depan golongan bumiputera hari ini 'berterima kasih' kepada bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga kerana menyedarkan kumpulan pribumi itu untuk bangkit membuat tuntutan kepada kerajaan.

Pengerusi Penganjur Suara Bumiputera Datuk Zulkarnain Mahdar tampil membuat tujuh daripada 50 tuntutan berkaitan nasib bumiputera berkaitan pelbagai isu termasuk agama, pendidikan, ekonomi dan harta tanah.

Beliau berkata kesedaran itu timbul melalui himpunan BERSIH yang dianjurkan Ambiga sebelum ini.

"Kami juga berterima kasih kepada Datuk Ambiga Srevanesan kerana tuntutan yang dibuat beliau itu, membuatkan kami sedar melalui pandangan kolektif daripada ahli akademik dan akar umbi bahawa, sudah tiba masanya kumpulan pribumi menuntut sesuatu (hak) daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Himpunan Suara Bumiputera di Hotel Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Zulkarnain berkata, pihaknya juga menghantar tuntutan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menteri kabinet, menteri besar dan ketua menteri pada 16 September depan sempena sambutan Hari Malaysia.

Ia akan disusuli dengan Himpunan Suara Bumiputera yang akan berlangsung pada 29 dan 30 Disember di Dataran Merdeka, katanya lagi.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata jika ia tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa, pihaknya sedia mengubahnya ke Stadium Bukit Jalil yang mensasarkan penyertaan 500,000 peserta.

"Selain itu kita juga akan mengumpul tandatangan daripada akar umbi sebagai tanda sokongan mereka melalui dalam talian yang mana laman sesawang bagi tujuan itu akan diwujudkan tidak lama lagi," katanya.

Suara Bumiputeta sebelum ini bercadang mahu mengadakan himpunan pada masa sama dengan BERSIH hujung minggu ini di PWTC tetapi menangguhkan dahulu hasrat mereka bagi mengelak pertembungan dengan BERSIH 4.

BERSIH 4 akan berlangsung selama 34 jam bermula Sabtu ini di tiga kota besar, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Himpunan itu menuntut lima perkara iaitu membersihkan pilihan raya, membersihkan kerajaan, menyelamatkan ekonomi negara, mengukuhkan demokrasi berparlimen dan mengukuhkan hak membantah.

Lihat Komen
ADS