Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAINS henti taja pelajar ke Jordan
Diterbitkan:  Aug 28, 2015 4:53 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) tidak lagi akan menaja pelajar ke Jordan mulai tahun hadapan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga menteri besar berkata keadaan kos sara hidup yang tidak menentu di Jordan menjadi antara sebab MAINS tidak akan menghantar pelajar ke sana selain taraf pendidikan di universiti tempatan yang semakin mantap dan cemerlang.

"Ilmu yang ada di sana juga boleh didapati di sini. Jadi tidak perlulah kita menghantar pelajar ke sana," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Tajaan MAINS.

Beliau berkata kos sara hidup yang tinggi di Jordan menyebabkan jumlah pembiayaan yang terpaksa ditanggung bagi seorang pelajar di negara itu bersamaan dengan tiga orang pelajar di negara lain seperti Mesir atau Maghribi.

Kini seramai 16 orang pelajar dari negeri ini masih berada di Jordan dan mereka akan dibawa pulang, katanya dan menambah para pelajar itu akan dibenarkan membuat pemindahan kredit mata pelajaran mereka.

Mohamad berkata penghantaran pelajar ke Mesir juga akan dikurangkan khususnya dalam bidang pengajian am kerana bidang tersebut boleh didapati di universiti awam tempatan seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pada majlis itu seramai 11 orang pelajar menerima sijil dan surat pemotongan pembayaran pinjaman pengajian tinggi MAINS kerana berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS