Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'MCA tak galak anggota sertai BERSIH 4'
Diterbitkan:  Aug 28, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Anggota MCA yang didapati terlibat dalam perhimpunan haram BERSIH 4 di ibu negara akan dikenakan tindakan tatatertib, kata Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau berkata parti itu mempunyai mekanisme untuk menjalankan siasatan terhadap anggotanya yang menyertai atau terlibat dalam perhimpunan haram itu.

"MCA tidak galakkan anggota parti menyertai perhimpunan BERSIH 4," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaraan Anugerah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) peringkat Pulau Pinang.

Sementara itu Chew, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menggesa golongan wanita merebut peluang serta kemudahan yang disediakan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata bantuan kewangan dan latihan telah lama diwujudkan oleh kerajaan bagi memastikan usahawan wanita lebih berdaya saing dalam pasaran perniagaan yang semakin mencabar.

"Adalah menjadi agenda kerajaan untuk meningkatkan jumlah usahawan wanita, oleh itu kami di kementerian memberi peluang kepada mereka dengan pelbagai pakej bantuan untuk meneroka bidang perniagaan... gunakanlah peluang yang diberikan ini sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 19.7 peratus wanita terlibat dalam IKS dan pihaknya menyasarkan peningkatan kepada 30 peratus wanita menceburi bidang itu menjelang tahun depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS