Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Polis pandang serius video 'We Will Blast Malaysia''
Diterbitkan:  Aug 28, 2015 8:44 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Pihak polis tidak memandang ringan dan akan menyiasat video bertajuk 'We Will Blast Malaysia!!' yang dimuat naik di laman sosial yang boleh menggugat keamanan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis melihat perkara terbabit sebagai ancaman serius dan akan sentiasa berwaspada dengan sebarang perkara yang boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman negara.

"Kita sedang melihat perkara ini. Tidak perlu saya katakan kita sudah mengenal pasti atau tidak (pihak yang menyebarkannya). Sudah pasti kita melihat ini sebagai ancaman serius. Kita jangan ambil ringan sebarang ugutan sebegini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai video berdurasi 1 minit 28 saat itu yang dimuat naik oleh 'Anonymous Malaysia' melalui YouTube semalam dengan memaparkan kejadian letupan bom di Bangkok, Thailand baru baru ini.

Video itu turut memaparkan tulisan dalam bahasa Inggeris 'Wait Our Blast At Bersih 4.0' (Nantikan Letupan Kami Di Bersih 4.0) pada akhir video berkenaan.

Mengenai perhimpunan Bersih 4.0, Khalid mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan kenyataan termasuk oleh sebilangan peguam bahawa perhimpunan haram terbabit tidak menyalahi undang-undang.

Beliau menegaskan perhimpunan terbabit adalah menyalahi undang-undang.

Malah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Bersih 4.0 bukan sebuah pertubuhan berdaftar.

"Saya hairan ramai pula yang beri nasihat kepada bakal peserta perhimpunan itu. Ada antara mereka di kalangan peguam yang menasihatkan bahawa perhimpunan terbabit tidak menyalahi undang-undang dan mengikut perlembagaan negara.

"Saya rasa mereka ini pun tidak berapa arif tentang undang-undang. Jadi saya tawarkan mereka untuk ke Maktab Polis untuk memberikan mereka kelas undang-undang supaya mereka boleh faham apa yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman, yang mana boleh dan tidak boleh," tegas Khalid.

-Bernama

Lihat Komen
ADS