Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
8 mangsa gigitan anjing bebas penyakit rabies

Lapan mangsa gigitan empat ekor anjing di Perlis baru-baru ini dilaporkan dalam keadaan sihat walaupun dua anjing berkenaan disahkan membawa penyakit rabies.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua mangsa telah diberi rawatan pesakit luar, dan mereka yang mempunyai luka atau kesan gigitan telah diberikan vaksin rabies.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis juga telah meningkatkan beberapa kawalan pencegahan termasuk membuka Bilik Gerakan Kawalan dan Pencegahan Rabies sejak Sabtu lepas dan mengeluarkan peringatan berjaga-jaga kepada pengamal perubatan di negeri itu mengenai pengesanan anjing yang dikesan mempunyai jangkitan rabies, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Jumaat.

"Pada masa sama, JKN Perlis telah menyediakan simpanan stok vaksin rabies dan meningkatkan promosi langkah-langkah pencegahan kepada penduduk berkaitan peyakit itu," katanya.

Noor Hisham berkata penduduk yang tinggal di kawasan sempadan kira-kira 30 kilometer dari negara Thailand seperti di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan dinasihati mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit anjing atau haiwan liar.

Rabies adalah sejenis penyakit disebabkan jangkitan Lyssavirus melalui luka gigitan atau luka terbuka pada kulit daripada air liur, cairan atau tisu tubuh haiwan seperti anjing, katanya.

Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami simptom seperti demam, sakit badan dan kepala, lumpuh dan koma, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS